Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.07.05

Shukor tiada rasa simpati

Oleh: Harian Metro

Jasa Negeri Sembilan membentuk Shukor Adan sebagai antara pemain tengah terbaik di negara ini tidak akan dilupakan kapten Selangor itu.

 

Bagaimanapun, tiada sebarang belas kasihan di hati pemuda kelahiran Melaka itu apabila berdepan pasukan lamanya dalam perlawanan merebut Piala Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, Sabtu ini.

 

Shukor berkata, skuad ‘Hoben Jang Hoben’ itu banyak membantu menggilap bakatnya selepas dipanggil menyertai skuad simpanan pada 1998 hingga 1999.

 

“Selepas dua tahun bersama pasukan simpanan Negeri Sembilan, saya dipanggil menyertai skuad senior pasukan itu pada 2000 hingga 2001,” katanya.

 

Bermula 2002, Shukor menyertai Gergasi Merah dan mengecap kejuaraan pertama Piala Malaysia apabila Selangor menewaskan Sabah dalam perlawanan akhir piala paling berprestij itu.

 

Shukor, 26, berkata sebagai pemain profesional yang bernaung di bawah bendera Selangor, dia perlu menyisihkan rasa simpati terhadap majikan lamanya itu bagi memastikan pasukan Merah Kuning memenangi perlawanan akhir itu nanti.

 

“Saya perlu membuang segala sentimen bersama Negeri Sembilan yang banyak berjasa kepada saya sebelum ini kerana tanggungjawab saya sekarang ialah memastikan Selangor kembali gah dalam bola sepak tanah air.

 

“Jadi, tidak timbul soal kesetiaan saya bersama Selangor apabila berdepan Negeri Sembilan dalam perlawanan ini nanti,” katanya.

 

Mengenai saingan dalam perlawanan akhir nanti, pemain berbadan tegap itu berkata, Negeri Sembilan adalah sebuah pasukan yang perlu dihormati kerana mempunyai ramai pemain yang lebih berpengalaman berbanding Selangor.

 

“Mereka dibarisi Idris Karim, Rezal Zambery Yahya, B Rajnikandh, Khairul Anuar Baharom dan Anuar Jusoh yang mempunyai pengalaman dan mampu menangani tekanan dalam perlawanan akhir.

 

“Jadi, pemain Selangor harus berhati-hati apabila berdepan pasukan ini kerana sebarang kesilapan akan membawa padah,” katanya.

 

Pemain yang pernah beraksi dengan Kelab Persibu, di Melaka itu berkata, dia juga yakin pemain Selangor dapat menangani tekanan perlawanan akhir kerana selalu berdepan pasukan kuat dalam Liga Perdana seperti Kedah dan MK Land, selain berdepan cabaran sukar sebelum layak ke separuh akhir Piala FA musim ini.

 

“Kami juga selalu berdepan tekanan tinggi terutama daripada penyokong yang mengharapkan kami memenangi semua perlawanan dan menjuarai Kumpulan A untuk melayakkan diri ke Liga Super musim depan.

 

“Alhamdulillah, matlamat pertama itu sudah tercapai hasil kerjasama semua pemain dan kerana itu saya yakin, perlawanan akhir nanti akan menjadi milik Selangor,” katanya.