Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
06.07.05

Sirih pulang ke gagang

Oleh: Harian Metro

Stadium Shah Alam 6 Mac lalu (angah316)

Stadium Shah Alam pasti dibanjiri lautan penyokong Merah Kuning ketika bekas juara Piala Malaysia 29 kali itu di ambang laluan ke Liga Super musim depan apabila berdepan Brunei, malam esok.

 

Lima mata di depan pencabar terdekat, MK Land, tetapi hanya satu mata sudah cukup menyaksikan Selangor bakal bertarung dalam liga elit musim depan, namun tiga mata yang dicari Gergasi Merah bagi meraikan detik kegemilangan itu bersama penyokong setia mereka di stadium yang kali terakhir digunakan ketika menentang Melaka di pusingan kedua Liga Perdana lalu.

 

Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata keputusan menggunakan semula Stadium Shah Alam itu ibarat ‘sirih pulang ke gagang’, terutama ketika detik menantikan sama ada Merah Kuning mampu mengesahkan status mereka sebagai pasukan terhebat Kumpulan A Liga Perdana.

 

“Kita mengambil keputusan menggunakan Stadium Shah Alam bagi memberi peluang lebih ramai penyokong Selangor menyaksikan perlawanan ini.

 

“Kalau boleh, jumlahnya menyamai ketika perlawanan Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura dalam Piala Sultan Selangor, tidak lama dulu,” katanya kepada pemberita di pejabat FAS, Kelana Jaya, semalam.

 

Hadir sama Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin dan jurulatih Selangor, Dollah Salleh.

 

Dalam perlawanan itu, kira-kira 80,000 membanjiri stadium yang turut diserikan dengan aksi bekas bintang ternama Selangor dan Singapura.

 

Satim berkata, stadium itu selamat digunakan dan menepati piawaian yang ditetapkan terutama baik pulih terhadap rumput dan sistem saliran padang.

 

“Semua ini sudah dibaik pulih dan kita berpuas hati dengan kerja-kerja yang dijalankan.

 

“Stadium Shah Alam akan digunakan bagi semua perlawanan yang membabitkan Selangor selepas ini hingga tamat Piala Malaysia, September depan,” katanya.

 

Katanya, biarpun Selangor kehilangan empat tonggak utama dalam perlawanan menentang Brunei nanti, barisan pemain simpanan Merah Kuning itu mampu menggalas harapan mencari tiga mata paling berharga itu.

 

“Kita kehilangan Elie Aiboy yang tercedera, dengan Khalid (Jamlus) dan Amri (Yahyah) digantung satu perlawanan akibat dibuang padang dalam perlawanan menentang Kedah Ahad lalu.

 

“Sementara pemain pertahanan, Nazrulerwan (Makmor) juga digantung satu perlawanan selepas menerima tiga kad kuning,” katanya.

 

Mengenai ketiadaan Dollah yang diarah meninggalkan tempat duduknya dalam perlawanan Ahad lalu, Satim berkata, perkara itu bukan masalah besar kerana tugas itu akan dipikul dua penolong jurulatih, Razali Alias dan Rusedy Nadzir.

 

“Kita juga boleh terus berhubung dengan Dollah di tempat duduk penonton, ataupun menggunakan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) melalui telefon bimbit.

 

“Paling penting sekali, kita dapat memungut tiga mata dan seterusnya layak ke Liga Super musim depan,” katanya.

 

Bagi menghargai sokongan penyokong setia yang sanggup datang ke Stadium Shah Alam, Satim berkata, FAS menyediakan hadiah menarik bagi cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal jenama Modenas.

 

“Kita juga menyediakan sebuah peti sejuk, televisyen 20 inci, periuk nasi, seterika dan baucar penginapan di Hotel Concorde buat penyokong malam itu.

 

“Kita masih mencari lebih banyak hadiah bagi membolehkan lebih ramai penyokong pulang dengan hadiah cabutan bertuah ini,” katanya.

 

Sementara itu, Satim berkata, FAS akan menghantar bantahan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung perlawanan menentang Kedah, Ahad lalu.

 

“Kita akan membuat bantahan rasmi ini secepat mungkin, sama ada esok (hari ini) atau lusa.

 

“Semua butiran mengenai bantahan ini sudah siap dan ia berkisar mengenai perasaan tidak puas hati mengenai mutu pengadilan dalam perlawanan itu,” katanya.