15.08.05
Dollah belum serah kalah
Oleh: Harian Metro
Tumbang di bumi Perak, tidak bermakna Gergasi Merah mengibarkan bendera putih untuk menyerah kalah dalam perjuangan merangkul Piala Malaysia musim ini.
Kehilangan tiga mata di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi, tidak bererti pintu ke suku akhir sudah tertutup buat skuad Merah Kuning itu.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata masih ada empat perlawanan yang perlu diharungi juara Piala Malaysia 29 kali itu dengan 12 mata penuh menjadi sasaran mereka selepas ini.
"Kita tidak akan menyerah kalah walaupun tewas dalam perlawanan ini. Banyak lagi perlawanan yang perlu dilalui dan kerana itu kita tidak akan berputus asa untuk melayakkan diri ke suku akhir, seterusnya merangkul Piala Malaysia," katanya ketika dihubungi di Ipoh, malam tadi.
Dalam perlawanan di depan kira-kira 30 000 penonton itu, Selangor tewas di tangan Perak 2-1, hasil jaringan pada minit terakhir pemain skuad Seladang, Shahrulnizam Mustapha hasil keadaan kelam-kabut di depan gawang Selangor.
Perak mendahului pada minit ke 60 menerusi penyerang import Guinea, Keita Mandjou tetapi Selangor menyamakan kedudukan dua minit kemudian menerusi penyerang import Indonesia, Bambang Pamungkas.
Dollah berkata, dia tidak kecewa dengan kekalahan itu kerana pemainnya menunjukkan prestasi mengagumkan terutama sekali penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus yang terlepas dua peluang keemasan di depan gawang Perak.
"Inilah permainan terhebat yang ditunjukkan Khalid malam ini tetapi sayangnya dia terlepas dua peluang keemasan itu.
"Saya amat berpuas hati dengan pemain lain yang menunjukkan kemampuan sebenar mereka malam ini," katanya,
Katanya, nasib jelas tidak memihak kepada Selangor dalam perlawanan itu apabila banyak peluang yang dicipta gagal diterjemahkan kepada jaringan.
"Kita banyak melancarkan serangan dan mencipta peluang, tetapi sayangnya pemain gagal menjaringkan gol kemenangan.
Keadaan ini digunakan Perak untuk menghukum kita dan seterusnya memungut tiga mata dalam perlawanan ini," katanya.
Dollah berkata, dia mahu pemain melupakan kekalahan itu dan menumpukan kepada perlawanan menentang Public Bank pada Rabu ini.
"Perlawanan itu sudah berakhir dan setiap pemain tidak harus kecewa. Mereka perlu memberi perhatian kepada perlawanan menentang Public Bank di Stadium Shah Alam pada Rabu ini dan saya berharap kita akan cipta kemenangan," katanya.