30.08.05
Dua kunci Selangor
Oleh: Harian Metro
Cabaran getir yang dihidangkan Public Bank dalam setiap pertemuan dengan Selangor menyaksikan Gergasi Merah tiada pilihan lain kecuali menampilkan permainan terbaik dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala Malaysia kali ini.
Dua syarat yang mesti dipenuhi skuad Merah Kuning itu ialah tidak leka sebelum wisel penamat dibunyikan dan menterjemahkan peluang kepada jaringan bagi memastikan mereka memungut mata penuh di Stadium Shah Alam malam esok.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh, berkata skuad bergelar 'The Banker' itu bukan calang-calang pasukan meskipun mereka sudah tersisih daripada perebutan tempat ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.
"Pemain Selangor juga tidak harus leka walaupun secara tidak rasmi kami sudah layak beraksi di suku akhir Piala Malaysia kali ini.
"Perlawanan malam esok amat penting bagi memastikan kami menampilkan aksi lebih konsisten sepanjang kempen musim ini," katanya kepada Harian Metro semalam.
Dalam dua pertemuan sebelum ini, Selangor mencatat kemenangan tipis 4-3 ke atas Public Bank dalam pusingan pertama Piala Malaysia, sebelum dipaksa seri 2-2 dalam pusingan pertama separuh akhir Piala FA, Ahad lalu.
Dollah berkata, keputusan seri dalam saingan Ahad lalu memberi pengajaran berguna kepada anak buahnya supaya mereka tidak memandang mudah setiap perlawanan.
"Jaringan minit terakhir yang dilakukan Public Bank memang menyeksakan kami untuk selesa dalam perlawanan peringkat kedua separuh akhir Piala FA nanti tetapi ia juga ada faedahnya bagi pemain.
"Ini kerana ia membuatkan mereka lebih berhati-hati supaya tidak leka sebelum permainan tamat dan mereka juga perlu memastikan peluang yang dicipta menghasilkan jaringan untuk memastikan kemenangan," katanya.
Katanya, jika mereka mengingati perlawanan Ahad lalu, setiap pemain akan menunjukkan prestasi terbaik mereka dalam perlawanan Rabu nanti.
"Mereka sudah memberikan persembahan terbaik dalam kempen Piala Malaysia setakat ini dan saya berpuas hati dengan pencapaian ini.
"Tetapi, saya akan lebih berasa bangga jika mereka menampilkan persembahan lebih bertenaga dan mempunyai semangat lebih tinggi untuk mencatat kemenangan dalam setiap perlawanan nanti," katanya.
Tanpa sebarang kecederaan dan penggantungan pemain, Selangor akan tampil dengan barisan terkuat apabila penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus disahkan pulih sepenuhnya dari kecederaan hamstring.
"Khalid sudah pulih dan mungkin akan diturunkan dalam perlawanan Rabu ini," katanya.
Bagaimanapun aksi memikat yang ditunjukkan Amri Yahyah, mewujudkan dilema kepada bekas pemain kebangsaan itu untuk menyisihkan pemain itu dalam pertemuan terakhir bagi pusingan kelayakan Kumpulan D ini.
"Sukar untuk saya meletakkan Amri di bangku simpanan selepas dia menampilkan aksi hebat Ahad lalu.
"Saya terpaksa menanti hingga saat akhir untuk membuat keputusan ini sama ada menggunakan khidmat Amri atau Khalid dalam perlawanan menentang Public Bank nanti," katanya.
Berdasarkan pungutan mata, Selangor sudah boleh melangkah ke suku akhir Piala Malaysia mengiringi Perak, apabila mengumpul lapan mata, sementara MK Land yang menjadi pencabar mereka hanya mengumpul lima mata dan memerlukan keajaiban untuk menang dengan jaringan besar ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh, Rabu ini.