05.08.05
Galliquio kawal kubu Selangor?
Oleh: Harian Metro
Bintang pertahanan dari Peru, John Christian Galliquio Castro atau John Galliquio yag dijangka bakal memantapkan pertahanan Gergasi Merah dalam kempen Piala Malaysia musim ini akan tiba hari ini.
Pemain yang beraksi dengan Racing Club di Argentina itu dijangka mempunyai peluang cerah menggunakan kepakarannya bersama skuad Selangor hasil pengalaman mengekang kemaraan rangkaian serangan Brazil dalam kejohanan pusingan kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan sebelum ini.
Pemain yang mempunyai ketinggian 180 sentimeter dan berat 80 kilogram itu beraksi mewakili negaranya ketika seri 1-1 menentang Brazil di Lima yang turut menampilkan penyerang terbaik dunia Ronaldo, Ronaldinho, Kaka dan Emerson.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Hamidin Mohd Amin berkata prestasi yang ditunjukkan pemain berusia 26 tahun itu memikat hati pengurusan FAS selepas menyaksikan aksinya dalam perlawanan Peru-Brazil itu.
"Sebagai pemain antarabangsa Peru, aksinya memikat hati FAS dan besar kemungkinan kita akan menggunakan khidmatnya dalam kempen Piala Malaysia nanti." katanya.
Bagaimanapun Hamidin berkata, terdapat beberapa masalah yang perlu diatasi FAS sebelum menetapkan keputusan menggunakan khidmat pemain berkenaan.
"Sebagai pemain kebangsaan, dia terikat dengan jadual perlawanan yang membabitkan negaranya dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dan kita perlu melepaskannya jika diminta berbuat demikian." tambahnya.