08.08.05
Gergasi Merah bermula mantap
Oleh: Harian Metro
Juara Liga Premier 2005, Selangor membuat permulaan baik perlawanan pertama selepas kejayaan menewaskan MK Land 4-1 pada perlawanan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, kelmarin.
Kemenangan itu memastikan Gergasi Merah Kuning mendapat tonik berharga menjelang perlawanan kedua berdepan Perak di tempat sendiri, minggu ini.
“Kami beraksi baik pada perlawanan itu. Semua pemain memberikan komitmen tinggi yang berbaloi kerana dapat mengutip tiga mata penuh.
“Walaupun pemain berpengalaman, K Sanbagamaran dibuang padang akibat dilayangkan kad merah, kami masih dapat mengekalkan rentak sehingga tamat perlawanan,” kata kapten Selangor, Shukor Adan.
Pemain tengah berusia 26 tahun itu berkata: “Kami memang mencari keputusan baik melalui permulaan yang baik. Kami tetap fokus menghadapi satu demi satu perlawanan selepas ini. Skuad Seladang menang perlawanan pertama mereka dengan menewaskan Public Bank.
“Menentang pasukan bagus seperti Perak membuatkan kami perlu lebih berwaspada. Sedikit kesilapan boleh membawa padah. Apapun, saya tidak mahu terlalu yakin kerana peluang kedua-dua pasukan 50-50,” katanya.
Shukor menafikan prestasi bahagian tengah juara 29 kali itu turun-naik dan tidak konsisten pada setiap perlawanan dilalui.
“Prestasi kami tidak berubah kerana kami sentiasa memberikan persembahan 100 peratus pada semua perlawanan baik peringkat Liga Premier atau Piala Malaysia.
“Perkara penting ialah beraksi sebagai satu pasukan dengan saling bantu-membantu satu sama lain bagi memperolehi tiga mata penuh,” katanya.