08.08.05
Hadapi Perak tanpa dua tonggak
Oleh: Berita Harian
Sekalipun memulakan kempen Piala Malaysia dengan dengan kemenangan bergaya 4-1 ke atas MK Land kelmarin, Selangor terpaksa membayar harga mahal apabila dua tonggaknya terpaksa diketepikan untuk perlawanan berikutnya menentang Perak hujung minggu ini.
Pemain sayap dari Indonesia Elie Aiboy sah tidak dapat beraksi menentang Perak nanti apabila mengalami kecederaan hamstring dan dikeluarkan pada babak kedua manakala tonggak tengah K Sanbagamaran berdepan penggantungan akibat dilayangkan kad merah pada minit ke-75.
Situasi itu merencatkan sedikit persiapan Merah Kuning yang juga masih dalam proses mencari pertahanan import bagi memantap benteng pertahanan selepas khidmat Badawi Farrah ditamatkan awal bulan lalu.
Namun, aksi mantap yang dipersembahkan anak buah Dollah Salleh ketika menenggelamkan keegoan MK Land yang menurunkan penyerang import terbaru mereka dari India Bhaichung Bhutia masih memberi harapan buat juara 29 kali itu terus dilabel pasukan pilihan.
Dollah ketika ditemui mengakui kecederaan Elie dan penggantungan yang bakal dihadapi Sanbagamaran sedikit mengganggu perancangannya kelak namun tetap yakin skuadnya masih memiliki ramai pemain berwibawa untuk menggalas cabaran.
“Saya amat gembira dengan aksi Selangor malam ini dan tidak sangka mampu menewaskan MK Land dengan jaringan besar. Namun, saya juga kecewa beberapa tonggak mengalami kecederaan yang mana saya harus memikirkan strategi baru untuk mengharungi perlawanan berikutnya,” katanya.
Selangor memastikan kemenangan hasil jaringan Bambang Pamungkas minit ke-16, Khalid Jamlus m-23 dan Brian Fuentes minit ke-37 dan 45, manakala MK Land meraih gol sagu hati pada minit ke-85 menerusi G Athanraj selepas lawan beraksi dengan 10 pemain apabila Sanbagamaran dilayang kad merah oleh pengadil Ibrahim Mohd.
Selain Elie dan Sanbagamaran, dua lagi tonggak iaitu kapten mereka Shukor Adan dan Bambang turut mengalami kecederaan tetapi keadaan mereka tidak begitu serius.