Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
01.08.05

Import tak muncul

Oleh: Harian Metro

Kelibat pemain pertahanan import dari Senegal yang dilaporkan tiba di negara ini kelmarin untuk menjalani ujian bersama pasukan Selangor, nyata tidak kunjung tiba.

 

Sebaliknya, pemain itu yang beraksi dengan kelab Nice dalam liga Perancis, hanya akan tiba ke negara ini Rabu nanti, sedangkan perlawanan pertama akan dijalankan Sabtu nanti.

 

Bagaimanapun, jurulatih Selangor, Dollah Salleh, belum mengangkat bendera merah berikutan perkembangan yang tidak menyenangkan itu kerana keyakinan terhadap kemampuan pemain pertahanannya masih kukuh.

 

“Bagi saya, mereka adalah pertahanan terbaik di negara ini. Jika mereka tidak bagus, kami tidak layak ke Liga Super musim depan dan tidak menggenggam Piala Liga Perdana,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Pemain import itu adalah pemain keenam yang dicuba skuad Merah Kuning bagi memantapkan pertahanannya menghadapi saingan Piala Malaysia dan separuh akhir Piala FA.

 

Selangor diletakkan bersama Perak, Public Bank dan MK Land dalam saingan Piala Malaysia kali ini dengan perlawanan menentang MK Land Sabtu ini di Stadium Shah Alam menjadi saingan pembuka tirai Gergasi Merah.

 

Itu adalah perlawanan keenam Selangor bertemu MK Land dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

 

Dollah berkata, dia tidak kisah jika Gergasi Merah bakal bersaing dalam Piala Malaysia tanpa pemain import pertahanan.

 

“Saya tidak terlalu terdesak ketika ini kerana tidak mahu pemain yang akan beraksi dengan pasukan ini hanya bertaraf sederhana.

 

“Saya tegaskan bahawa hanya pemain pertahanan terbaik layak beraksi dengan pasukan ini, biar lambat asalkan pemain yang kita cari itu betul-betul seorang pemain terbaik,” katanya.

 

Dollah juga menghadapi dilema bagi membariskan kesebelasan utama menentang MK Land Sabtu ini apabila semua pemain yang diturunkan dalam perlawanan persahabatan menentang MPPJ, Sabtu lalu, menunjukkan prestasi membanggakan.

 

“Saya begitu gembira dengan peningkatan pemain simpanan pasukan ini kerana mampu bersaing dengan pemain utama.

 

“Ini memberi masalah kepada saya untuk mencari kesebelasan utama dalam perlawanan sulung Piala Malaysia nanti.

 

“Ia juga adalah berita buruk bagi pemain utama kerana tempat mereka belum terjamin sepenuhnya kerana saya hanya akan membariskan pemain terbaik berdasarkan prestasi semasa,” katanya.