06.08.05
Merah Kuning uji tiga calon import terakhir
Oleh: Berita Harian

John Galliquio dari Peru
Selepas enam pertahanan import gagal memikat perhatian, Selangor menetapkan tiga calon yang sedang dan bakal diuji sebagai usaha terakhir sebelum mereka membuat keputusan muktamad mengenai kedudukan pemain import keempat pasukan itu minggu depan
Calon terbabit seorang daripada Poland tiba kelmarin dan dua lagi masing-masing dari Portugal dan Peru yang tiba hari ini dan esok akan ditentukan kedudukan mereka selewat-lewatnya selepas juara Liga Perdana 2005 itu mengadakan perlawanan persahabatan dengan PKNS Selangor Rabu ini.
Ketetapan itu dibuat kerana Merah Kuning tidak mahu lagi menghabiskan masa menguji terlalu ramai pemain import hingga menjejaskan tumpuan mereka bagi menghadapi saingan Piala Malaysia.
Selangor kini mempunyai Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy dari Indonesia serta penyerang Argentina Brian Fuentes yang dikekalkan dari musim lalu dan pencarian pemain import keempat ialah bagi menggantikan pertahanan dari Australia Badawi Farrah yang ditamatkan kontrak awal bulan lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin ketika memaklumkan perkara itu berkata, pengurusan memutuskan mereka tidak akan sewenang-wenangnya memilih pemain import baru jika mereka gagal memenuhi mutu yang dikehendaki.
“Sekalipun Selangor memerlukan pemain import untuk memantapkan benteng pertahanan selepas khidmat Badawi ditamatkan, ia tidak bermakna kami pasti akan mengambil pemain baru.
“Apa yang penting, jika Selangor berhasrat mengambil pemain import baru, dia mesti lebih hebat daripada Badawi dan jika tidak Selangor akan kekal dengan tiga pemain import sedia ada dan menggunakan tonggak tempatan sepenuhnya di barisan pertahanan,” katanya.
Selepas khidmat Badawi ditamatkan, Selangor sudah menguji enam pertahanan import dari Eropah, Amerika Selatan dan Afrika tetapi semuanya gagal menambat perhatian pengurusan Merah Kuning.
Pemain Poland yang sedang diuji ialah Ernest Matu Sewitz, manakala pemain Peru dan Portugal yang bakal tiba ialah John Christian Galliquio Castro dan Marco Paulo Rodriguez.
Matu Sewitz berusia 24 tahun dan kelab terakhirnya ialah Koluraika Kolorzreg di Poland manakala Christian Galliquio dan Paulo Rodriguez yang masing-masing berusia 26 dan 25 tahun beraksi untuk Universtario di Peru dan Anadia FC di Portugal.
Selangor akan membuka tirai saingan Piala Malaysia Kumpulan D menentang MK Land di Stadium Shah Alam malam ini.