Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.08.05

MK Land 1 Selangor 4 (Piala Malaysia)

Oleh: pippo

Brian Fuentes

Juara Liga Perdana 2005 Selangor memulakan langkah memburu Piala Malaysia buat kali ke 30 dengan membenam MK Land 4-1 dalam perlawanan Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam ini.

 

Ini merupakan pertemuan keenam di antara kedua-dua pasukan musim ini namun tiada apa yang dapat dilakukan oleh MK Land untuk menghalang ancaman barisan serangan Gergasi Merah yang menjaringkan empat gol di separuh masa pertama.

 

Selangor yang kali terakhir memenangi Piala Malaysia pada tahun 2002 bermain dengan 10 orang bermula pada minit ke 76 apabila K Sanbagamaran dibuang padang disebabkan insiden terjahan keras dan tolak-menolak.

 

Bambang Pamungkas membuka pesta jaringan dengan satu tendangan percuma lencong yang menewaskan sama sekali S Shankar pada minit ke 16. Sepakan percuma diperolehi selepas Brian Fuentes dijatuhkan betul-betul di luar kotak penalti. Gol tersebut merupakan jaringan ke 30 Bambang Pamungkas dalam semua pertandingan musim ini.

 

Khalid Jamlus menambah derita MK Land apabila beliau menjaringkan gol pada minit ke 23. Gol berpunca dari through ball Elie Aiboy yang menemui Fuentes yang tidak dikawal di sebelah kanan. Hantaran pendek Fuentes disambut oleh tandukan Khalid.

 

Bintang Argentina Fuentes meletakkan namanya di senarai penjaring dengan menyumbat gol ketiga pada minit ke 37 dengan tandukan hasil hantaran Bambang. Seminit sebelum rehat Fuentes menyempurnakan hantaran rendah dari Elie di sebelah kanan untuk gol keempat Selangor.

 

Keadaan jerebu yang menyelubungi stadium tidak menghalang dari skuad Merah Kuning untuk menghiburkan penonton dengan corak serangan pantas yang sama sekali gagal dihalang oleh MK Land di separuh masa pertama. Selangor seharusnya menjaringkan lebih banyak gol namun dua gol Khalid Jamlus dibatalkan kerana offside di samping ditidakkan oleh S Shankar dalam sekurang-kurangya dua percubaan lain.

 

Pemain sayap kanan lincah Elie Aiboy terutamanya berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan lawan dengan larian pantas dan hantaran lintang yang menyumbang dua dari gol Selangor. Bekas pemain Selangor, Shawal Johadi yang diarah untuk membataskan pergerakan Elie jelas tidak mampu menyaingi kelincahan pemain Indonesia ini.

 

Pemain import MK Land dari India Bhaichung Bhutia dan Mario Mijatovic langsung nyata tidak mengancam kubu Selangor dengan berkesan walaupun beberapa kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan Merah Kuning mencemaskan peminat.

 

Separuh masa kedua sedikit membosankan apabila Selangor yang telah mendahului 4-0 memperlahankan perlawanan walaupun berpeluang menambah jaringan beberapa kali. Khalid gagal menewaskan penjaga gol lawan dalam situasi satu lawan satu manakala tandukan Sanbagamaran hasil sepakan sudut Elie terkena tiang.

 

Athan Raj menjaringkan gol saguhati buat MK Land pada minit ke 85 setelah menyambut bola yang ditepis Jamsari Sabian hasil percubaan Bhutia. Kekalahan ini pastinya mengecewakan MK Land yang kerapkali dikecewakan oleh Selangor musim ini dalam saingan liga dan Piala FA.

 

MK LAND: S. Shankar, Azlan Shah Yahya (S. Saravanan), A. Ganeson, Mohd Fairuz Mohd Noor, Azni Ariffin (Shahrin Majid), Ooi Hoe Guan, Mohd Shawal Johadi, Mario Mijotovic (Azralan Azmi), Mijo Dadic, Bhaichung Bhutia, Athan Raj

 

SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Mohd Saifu Nizam Husin, Elie Aiboy (Nazzab Hidzan), Brian Fuentes, K. Sanbagamaran, D. Surendran, Bambang Pamungkas (P Gunalan), Khalid Jamlus (Fairuz Montana), Mohd Shukor Adan