Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
30.08.05

Nasib Satim diketahui hari ini

Oleh: Berita Harian

Satim Diman

Nasib pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman yang menceroboh masuk ke padang dalam pertemuan tegang Kumpulan D Piala Malaysia antara Selangor dan Perak, Rabu lalu akan ditentukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan yang dipengeruskan Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar di Wisma FAM hari ini.

Selain itu, mesyuarat itu akan membincangkan insiden yang tidak diingini membabitkan skuad Merah Kuning dalam pertemuan separuh akhir mereka menentang Public Bank di Shah Alam, Sabtu lalu yang berkesudahan 2-2 sebelum memutuskan sama ada mengambil tindakan ke atas Selangor.

 

Dalam pertemuan Sabtu lalu, penonton bertindak menjerit dan membaling botol plastik serta bungkusan makanan ke arah pegawai perlawanan termasuk pengadil Mat Lazim Awang Hamat.

 

Insiden itu berlaku sejurus selepas pegawai dan pengurus Selangor, Datuk Satim dimana mengerumuni Mat Lazim selepas perlawanan bagi membantah cara pengendaliannya termasuk memberi sepakan percuma kepada Public Bank akibat kekasaran yang didakwanya dilakukan oleh bek kiri Selangor, D Surendran yang menghasilkan gol penyamaan The Bankers pada minir terakhir perlawanan.

 

Sebelum itu, dalam perlawanan Piala Malaysia Rabu lalu juga di Shah Alam yang berakhir dengan keputusan seru 1-1, Satim menceroboh masuk ke padang pada minit ke 72 bagi mempertahankan pemain tengahnya, Mohd Amri Yahyah yang dilihatnya sebagai mangsa kekasaran yang dilakukan kapten Perak, Ahmad Shahrul Azhar.

 

Satim kelihatan menuju ke arah pengadil, Ahmad Khalidi Supian sebelum diredakan pemain dan pegawai dari barisan juara Liga Perdana itu.

 

Dia yang ditemui sejurus perlawanan itu mempertahankan tindakannya itu sebagai langkah untuk menghalang sebelum keadaan menjadi lebih buruk antara dua pemain itu yang terkenal dengan sifat panas baran mereka.

 

Namun mesyuarat hari ini akan melihat sama ada prinsip Machiavelli iaitu matlamat menghalalkan cara dibenarkan dalam bolasepak negara selepas Raja Ahmad dan ahli majlisnya meneliti laporan Mat Lazim Awang dan Ahmad Khalidi.

 

"Kami akan meneliti laporan dua pengadil yang terbabit esok (hari ini) sebelum membuat keputusan mengenai sebarang tindakan yang diambil ke atas pihak yang terbabit.

 

"Pada masa ini (semalam), saya tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai langkah yang bakal diambil jika mereka ditemui bersalah, anda perlu menunggu keputusan esok (hari ini)," katanya.