Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
03.08.05

‘Oseng-oseng pare’ sentuhan Bambang

Oleh: Berita Harian

Bambang dan isteri

Bambang dan isteri. (Gambar NSTP)

MEMASAK dan menjaringkan gol memerlukan kepakaran berbeza tetapi bagi penyerang import Selangor dari Indonesia, Bambang Pamungkas kedua-duanya bukan masalah.

 

Penggempur berbisa itu yang sudah menjaringkan 22 gol untuk memastikan skuad Merah Kuning layak ke Liga Super musim depan dan mara ke separuh akhir Piala FA gemar memasak sebagai sebahagian aktiviti mengisi masa lapang.

 

Sekalipun sibuk dengan jadual latihan dan perlawanan yang padat, Bambang akan sentiasa cuba meluangkan masa melakukan aktiviti yang digemarinya sejak usia remaja lagi.

 

Bersama isteri yang turut menemaninya ke negara ini sejak menandatangani kontrak setahun bersama Selangor Disember lalu, Bambang menjadikan kegiatan memasak sebagai antara cara mengeratkan lagi hubungan sesama mereka untuk menghilangkan kerinduan terhadap kampung halaman.

 

“Jika tidak terbabit dengan latihan atau perlawanan saya lebih suka tinggal di rumah. Masa itulah saya gunakan untuk memasak makanan kegemaran yang kebanyakannya makanan tradisi Indonesia.

 

“Selalunya jika ada kelapangan hujung minggu di rumah, saya tidak benarkan isteri memasak dan akan menggantikannya di dapur. Masakan paling saya gemar ialah oseng-oseng pare iaitu sejenis masakan sayuran Indonesia,” katanya.

 

Menurut Bambang, dia dan isteri jarang menikmati makanan di luar dan lebih gemar menikmati masakan sendiri yang lebih menepati cita rasa mereka yang gemarkan makanan pedas.

 

Bambang mendirikan rumahtangga dengan kekasih sejatinya, Dewi Tribuanatungga Dewi pada Ogos tahun lalu dan pasangan itu sebelumnya menjalin hubungan cinta hampir enam tahun ketika sama-sama belajar di Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi Indonesia.

 

Sambil mengakui mereka jarang dapat meluangkan banyak masa lapang bersama kerana kesibukannya dengan latihan dan jadual perlawanan, Bambang amat berterima kasih kerana isterinya begitu memahami kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.

 

“Kehadirannya di sisi menguatkan lagi semangat saya untuk beraksi cemerlang bersama Selangor. Dia sanggup ikut saya ke Malaysia semata-mata bagi memastikan karier saya tidak terjejas, walaupun ada kalanya saya juga kasihan kepadanya kerana agak kesepian di negara orang,” kata Bambang sambil mengakui dia juga belum berkesempatan membawa isterinya mengunjungi pelbagai tempat menarik di negara ini.

 

Biarpun baru musim pertama menabur bakti dengan skuad juara Piala Malaysia 29 kali, penyerang dari Semarang, Indonesia itu sudah berjaya menambat hati ribuan peminat Merah Kuning dengan penyudah tajam di samping kemampuannya melonjak tinggi untuk menanduk bola.

 

Bambang kini bukan saja idola baru penyokong Merah Kuning, malah aksinya di padang turut berjaya mengembalikan kehadiran ramai penonton ke Stadium Shah Alam yang kembali ceria selepas beberapa tahun muram bersama kemerosotan skuad Selangor.

 

“Saya gembira penyokong Selangor kini sudah mula kembali ke stadium sambil memberi sokongan padu kepada pasukan. Itulah juga salah satu sebab kenapa saya menerima tawaran Selangor kerana ingin membantu mereka merampas kejuaraan dan mengembalikan semula sokongan penonton,” kata Bambang.

 

Sekalipun kejayaan Selangor setakat ini banyak dikaitkan dengan sumbangan berkesan Bambang, penyerang yang muncul penjaring terbanyak Liga Indonesia 1999 dan 2001 dan antara tonggak kejayaan negaranya menduduki tempat kedua Piala Tiger 2000 dan 2001 tidak mahu menerima pujian berseorangan.