15.08.05
Perak 2 Selangor 1 (Piala Malaysia)
Oleh: The Star

Insiden di Stadium Perak (The Star)
Pemain tengah Shahrulnizam Mustapha menjadi hero pasukan Perak apabila gol beliau dalam masa kecederaan membantu membenam Selangor 2-1 dalam perlawanan penuh aksi Kumpulan D Piala Malaysia di Stadium Perak Ipoh malam ini.
Keita Mandjou meletakkan Perak di hadapan pada minit ke 60 sebelum Selangor menyamakan kedudukan menerusi Bambang Pamungkas dua minit kemudian. Ketika perlawanan seakan-akan berakhir dengan keputusan seri, Shahrulnizam yang mara dari sebelah kanan, menggelecek beberapa orang pemain pertahanan pasukan pelawat sebelum meledakkan sepakan kaki kiri dari sudut sukar untuk gol kemenangan.
Namun perlawanan dicemari dengan insiden penonton yang berlaku sebaik sahaja Selangor menyamakan kedudukan. Pembantu pengadil, Syed Azhar Syed Kamar dari Kuala Lumpur jatuh terbaring apabila kelihatannya terkena botol plastik yang dibaling dari kawasan tempat duduk penonton.
Perlawanan terhenti kira-kira 5 minit bagi membolehkan Syed Azhar menerima rawatan sebelum dia kemudiannya mampu meneruskan tugasnya.
Perlawanan bermula agak perlahan apabila kedua-dua pasukan mengambil langkah berhati-hati sebelum tempo perlawanan meningkat berubah menjadi menarik. Perak dan Selangor masing-masing mempunyai peluang untuk menjaringkan gol di babak pertama namun gagal menemui penyudah berkesan.
Namun pada minit ke 60 Perak memecah kebuntuan apabila Mandjou menanduk masuk hantaran rendah V. Thirumurugan untuk menewaskan sama sekali penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian.
Kegembiraan pasukan tuan rumah tidak lama apabila dua minit kemudian Bambang menyamakan kedudukan hasil sepakan kencang paras pinggang dari sebelah kanan pintu gol Perak.
Selepas perlawanan disambung semula berikutan insiden melibatkan pembantu pengadil Syed Azhar, Perak kelihatan lebih bertenaga dan melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu pasukan pelawat.
Hasilnya pada masa kecederaan Shahrulnizam berjaya melepasi pertahanan Selangor dan menewaskan shahrizan Ismail yang masuk menggantikan Jamsari kira-kira 10 minit sebelum itu, untuk gol kemenangan.
PERAK: Hamsani Ahmad, V. Thirumurugan, Syamsul Saad, K. Nanthakumar, Chan Wing Hoong, Shahrulnizam Mustapa (Wirat Nom), Troare Abdoulaye, Ahmad Shahrul Azhar, Harizul Izuan Rani, Keita Mandjou, Frank Seator.
SELANGOR: Jamsari Sabian (Shahrizan Ismail), Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Saiful Nizam Husin, Nazzab Hidzan (Amri Yahyah), Shukor Adan, Elie Aiboy, Brian Fuentes, D. Surendran (P. Gunalan), Bambang Pamungkas, Khalid Jamlus.