Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
28.08.05

Public Bank 2 Selangor 2 (Semi 1 Piala FA)

Oleh: misai117

Piala FA

Selangor gagal mengekalkan kelebihan satu gol apabila membiarkan Public Bank menyamakan kedudukan pada minit akhir permainan untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2 pada perlawanan pertama, Separuh Akhir TM Piala FA 2005 di Stadium Shah Alam malam tadi.

 

Biarpun beraksi di Stadium Shah Alam, Public Bank bertindak sebagai tuan rumah sementara Selangor bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan kedua di gelanggang yang sama 10 September depan.

 

Babak pertama menyaksikan Selangor menurunkan kesebelasan utama mereka kecuali tanpa K.Sanbagamaran dan Khalid Jamlus. Posisi mereka diisi oleh Nazzab Hidzan dan Amri Yahyah.

 

Kawasan tengah padang lebih banyak dikuasai oleh jentera tengah Public Bank dan mereka dilihat lebih banyak melakukan percubaan-percubaan bahaya ke arah pintu gol Selangor yang dikawal Jamsari Sabian yang dipaksa bekerja keras sepanjang babak pertama.

 

Walau bagaimanapun, Selangor nyaris di hadapan apabila Bambang Pamungkas berjaya melepasi pertahanan tengah Public Bank dan percubaan beliau berjaya disekat penjaga gol lawan dan rembatan susulan oleh Brian Fuentes sedikit melepasi palang atas meskipun G. Jeevanathan sudah terkeluar dari posisi beliau.

 

Namun, Public Bank akhirnya berjaya menghukum kelonggaran benteng pertahanan Selangor apabila lambungan Ivan Ziga dari sebelah kanan berjaya disambut pantas dalam kotak penalti oleh Hardi Ahmad yang pantas merembat masuk untuk gol pertama Public Bank pada minit ke-34.

 

Ketika pemain-pemain Public Bank bersiap sedia membawa bekalan satu gol ke bilik persalinan, D.Surendran melakukan lambungan dari sebelah kiri ke arah Elie Aiboy yg menguis sedikit bola tersebut dan tepat di hadapan Brian Fuentes.Tanpa menunggu lama, Brian Fuentes terus merembat kencang ke arah pintu gol Public Bank untuk kedudukan 1-1 pada babak pertama.

 

Bermula babak kedua, tiada pertukaran dilakukan. Selangor kembali mendapat rentak, apabila menguasai sepenuhnya perlawanan.

 

Amri Yahyah hampir menambah jaringan untuk Selangor, namun kegopohannya menidakkan peluang tersebut. Hasil percubaan kaki kiri Elie Aiboy, bola dakapan G.Jeevanathan muntah dan tepat ke arah Amri Yahyah. Tetapi, Amri terlalu lama mengambil langkah dan percubaannya tersasar.

 

Elie Aiboy selepas itu nyaris menjaringkan gol pertama beliau musim ini apabila berjaya menggelecek dua pertahanan Public Bank dan berjaya melepaskan satu rembatan kaki kiri tetapi berjaya dihadang penjaga gol Public Bank.

 

Akhirnya pada minit ke-62, Selangor berjaya juga mendahului apabila sepakan penjuru Elie Aiboy berjaya disambut di luar kotak penalti oleh D.Surendran yang terus melakukan percubaan jarak jauh yang tepat ke penjuru atas sebelah kanan pintu gol Public Bank untuk kedudukan 2-1.

 

Public Bank melakukan 3 pertukaran sementara Selangor tidak melakukan apa-apa pertukaran.

 

Ketika pengadil memberikan 3 minit masa tambahan, Selangor tampak akan pulang dengan kelebihan satu gol. Namun, kelekaan pemain Selangor dihukum apabila Wong Sai Kong berjaya melakukan rembatan yang hanya mampu dilihat oleh Jamsari Sabian pada minit ke-91 untuk keputusan penuh, kedua-dua pasukan seri 2-2.

 

SELANGOR: Jamsari Sabian, Ahmad Tharmini Saiban, Nazrulerwan Makmor, Saiful Nizam Husin, Nazzab Hidzan, Shukor Adan, Elie Aiboy, Brian Fuentes, D.Surendran, Bambang Pamungkas, Amri Yahyah.