06.08.05
Rahsia Bhutia dalam tangan Dollah
Oleh: Harian Metro
Jika MK Land berbangga mendapatkan khidmat penyerang antarabangsa India, Baichung Bhutia, dari kelab East Bengal minggu lalu, mereka sebenarnya perlu menerima realiti ini.
Segala rahsia bekas penyerang Bury Town FC dalam liga divisyen dua Inggeris itu berada dalam genggaman bekas penyerang kebangsaan yang kini bertindak sebagai pengemudi Selangor, Dollah Salleh.
Dollah pernah beraksi menentang Baichung ketika skuad kebangsaan menewaskan India 5-2 dalam pusingan kelayakan Piala Asia di Stadium Shah Alam, pada 6 Mac 1996.
“Saya mengakui Bhutia serang penyerang yang mempunyai skil menarik dan berbahaya dalam kotak penalti.
“Tetapi, itu cerita 10 tahun yang lalu semasa saya menentangnya dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia,” katanya, semalam.
Bagaimanapun, selepas 10 tahun berlalu, sekali lagi dua penyerang terbaik itu akan bertemu di Stadium Shah Alam, malam ini, tetapi kini dengan peranan berbeza.
Baichung akan memimpin jentera serangan MK Land, sementara Dollah memainkan peranan sebagai jurulatih yang mengatur strategi terbaik bagi mengekang pergerakan Baichung dari menembusi gawang Selangor.
Dollah berkata, dia tidak begitu menghiraukan sama ada kelibat Baichung masih berbisa seperti dulu.
“Sama ada dia masih mampu memberikan sumbangan seperti 10 tahun lalu, itu saya tidak kisah.
“Saya tetap yakin bahawa pemain pertahanan Selangor mampu mengekang pergerakannya dari membolosi gawang kami,” katanya.
Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata, jika Baichung menjadi senjata MK Land, mereka juga harus memikirkan bagaimana cara merantai rangkaian empat penyerang Gergasi Merah yang terdiri daripada Bambang Pamungkas, Brian Fuentes, Elie Aiboy dan Khalid Jamlus.
“Rangkaian penyerang kami adalah paling berbahaya dalam kempen Liga Perdana sebelum ini dan membuktikan mereka sentiasa mampu menjaringkan gol dalam apa jua keadaan.
“Jika mereka (MK Land) terlalu memikirkan bagaimana mahu menjaringkan gol, mereka juga harus memikirkan bagaimana mahu mengawal gawang sendiri,” katanya.
Katanya, benteng pertahanan skuad Merah Kuning itu semakin mantap hasil tumpuan dalam latihan yang diberikan dalam tempoh dua minggu ini.
“Persembahan yang ditunjukkan pertahanan tengah Nazrulerwan Makmor dan Saifunizam Husin, D Surendran dan Ahmad Tarmini Saiban serta penjaga gol, Jamsari Sabian begitu meyakinkan saya.
“Jadi, saya harap mereka akan mengekalkan rentak persembahan yang meyakinkan ini bagi memastikan tiga mata kita kutip malam ini,” katanya.