25.08.05
Selangor 1 Perak 1 (Piala Malaysia)
Gol pada waktu kecederaan oleh ketua pasukan, Shukor Adan membantu Selangor meraih satu mata berharga dalam perlawanan penuh mendebarkan Kumpulan D di Stadium Shah Alam malam tadi. Perlawanan yang berkesudahan seri 1-1 itu turut menyaksikan Perak menjadi pasukan pertama layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia.
Di hadapan kira-kira 60 000 penyokong kedua-dua pasukan, pasukan pelawat Perak merehatkan penyerang Liberia Frank Seator dan sebaliknya menurunkan Marian Juhas di barisan pertahanan manakala Selangor turun tanpa Khalid Jamlus.
Perak bermula garang apabila Keita Mandjou beberapa kali berjaya menembusi pertahanan Selangor namun penjaga gol Jamsari Sabian bertindak pantas mengawal keadaan.
Pada minit ke 12, penyerang Bambang Pamungkas hampir membuka jaringan apabila tandukannya terkena palang. Tidak lama selepas itu, giliran Brian Fuentes untuk menguji gawang Perak namun sepakan kencangnya berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh pertahanan import Perak Marian Juhas.
Selepas aksi awal berbalas serangan, kedua-dua pasukan mula mengamalkan corak hantaran jauh serta rembatan luar kotak penalti namun tidak membuahkan hasil. Di penghujung babak pertama, Bambang hampir menceriakan penyokong tuan rumah namun sepakannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Perak Hamsani Ahmad sebelum terkena palang.
Separuh masa kedua baru bermula 7 minit apabila Perak memperolehi sepakan sudut. Sepakan sudut yang tertangguh seketika akibat gangguan penonton kemudiannya diambil pantas mengakibatkan kelam-kabut seketika sebelum Keita Mandjou merembat deras melepasi Jamsari.
Gol pendahuluan Perak mengejutkan skuad Merah Kuning dan 2 minit selepas itu, Keita sekali lagi berjaya melepasi pertahanan Selangor namun gagal menyempurnakan peluang keemasan di hadapan pintu gol.
Tersentak dengan situasi itu, Selangor melancarkan serangan bertubi-tubi ke kubu skuad Seladang bagi mencari gol penyamaan. Suasana perlawanan menjadi tegang seketika apabila pemain gantian Selangor, Amri Yahyah menanggalkan baju sambil berlari ke tepi padang menuju ke bangku pemain simpanan selepas beliau dikasari oleh kapten Perak Ahmad Shahrul Azhar yang mengakibatkan belakang badannya luka.
Tindakan itu menyebabkan pengurus pasukan Datuk Satim Diman meluru masuk padang untuk meleraikan keadaan tetapi sempat ditenangkan oleh jurulatih Dollah Salleh dan pegawai pasukan.
Selepas keadaan menjadi reda Selangor kembali memburu gol penyamaan. Sepakan kencang Amri dari luar petak berjaya ditampan oleh Hamsani yang jelas merupakan wira pasukan Perak dalam perlawanan ini.
Di saat kelihatan Perak seakan-akan mampu pulang dengan 3 mata, Selangor memperolehi sepakan percuma di sebelah kanan pintu gol Perak. Sepakan percuma yang diambil oleh Elie Aiboy itu disambut dengan tandukan kilas Shukor Adan menewaskan Hamsani seterusnya menggembirakan ribuan penyokong Merah Kuning untuk mengikat kedudukan 1-1.