16.08.05
Selangor janji lebih bertenaga
Oleh: Harian Metro
Selangor menjanjikan aksi lebih bertenaga dalam perlawanan menentang Public Bank di Stadium Shah Alam malam esok dalam usaha mencari tempat ke suku akhir saingan Piala Malaysia musim ini.
Persembahan terbaik pemain skuad Merah Kuning menentang Perak di Stadium Ipoh malam kelmatin wajar dipuji tetapi sayangnya mereka gagal membawa pulang tiga mata penuh.
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh berkata kekalahan itu harus dilupakan kerana perjuangan perlu diteruskan dalam misi menggondol Piala Malaysia buat kali ke 30.
"Tiada apa yang perlu dikesalkan berikutan kekalahan itu, semua pemain sudah memberikan persembahan terbaik mereka tetapi kita tewas pada saat-saat akhir permainan.
"Setiap pemain tidak harus kecewa dengan kekalahan ini sebaliknya mereka perlu bangkit menggandakan usaha bagi mengutip tiga mata dalam perlawanan malam esok," katanya semalam.
Dollah berkata kekalahan itu juga tidak melunturkan semangat pemain Gergasi Merah, sebaliknya mereka begitu berazam untuk menewaskan Public Bank malam esok.
"Ini adalah perlawanan penting bagi kami dan tiga mata yang akan dikutip juga terlalu berharga.
"Saya sudah berpesan kepada pemain supaya tidak melepaskan peluang mengutip kemenangan dalam perlawanan ini dan jadikan kekalahan di Ipoh sebagai pengajaran berharga buat mereka," katanya.
Katanya, penjaga gol utama Merah Kuning Jamsari Sabian dan pertahanan kiri, D Surendran mengalami kecederaan ketika berdepan Perak Ahad lalu dan hanya mempunyai peluang tipis untuk diturunkan Rabu ini.
"Jamsari cedera di bahagian pergelangan kaki, sementara Surendran di bahagian tepi lutut.
"Jika kecederaan mereka tidak pulih, saya akan menurunkan Shahrizan Ismail menggantikan Jamsari, dan mungkin P Gunalan menggantikan tempat Surendran.
"Bagaimanapun, ia tidak menjejaskan rentak pasukan kerana kedua-dua pemain ini mampu memenuhi tanggungjawab diamanahkan kepada mereka," katanya.
Selangor sekali lagi bergantung harap kepada penjana bahagian tengah yang juga kapten pasukan, Shukor Adan dan Nazzab Hidzan selepas pemain berpengalaman, K Sanbagamaran menjalani penggantungan yang berbaki satu perlawanan.