Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
31.08.05

Selangor mahu 3 mata buat penyokong

Oleh: Harian Metro

Allahyarham Mokhtar Dahari pernah berkata, perlawanan paling meresahkannya adalah Piala Malaysia. Selangor biarpun muncul pasukan paling banyak menjulang piala berprestij itu , hakikatnya nasib sebenarnya banyak membantu.

 

Dan malam ini biarpun Selangor sudah sebelah kaki di suku akhir, bahaya masih menunggu di muka pintu.

 

Memerlukan keputusan seri sahaja berdepan Public Bank, kapten Shukor Adan tidak mahu rakan lain berkhayal.

 

"Satu mata memang memadai buat kami untuk layak ke suku akhir tetapi itu bukan yang kami mahukan.

 

"Kami mahu tiga mata kerana ingin menghadiahkan kemenangan ini buat penyokong setia Merah Kuning yang berdiri teguh sepanjang kempen Liga Perdana dan Piala Malaysia musim ini," katanya kepada Arena Metro semalam.

 

Ketika ini, Selangor berada di tempat kedua Kumpulan D di belakang Perak apabila mengumpul lapan mata, meninggalkan MK Land di tempat ketiga dengan lima mata.

 

Berdasarkan pungutan mata itu, MK Land hanya boleh mengatasi Selangor untuk slot ke suku akhir jika menewaskan Perak dengan jumlah jaringan besar.

 

Shukor berkata, perlawanan itu akan digunakan sebagai pentas memperbaiki segala kelemahan yang ditonjolkan skuad Merah Kuning itu dalam perlawanan peringkat pertama separuh akhir Piala FA menentang lawan sama di Stadium Shah Alam, Sabtu lalu.

 

"Dalam perlawanan itu kami melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya dibuat hingga menyebabkan dipaksa seri 2-2 dengan Public Bank meskipun kemenangan di depan mata.

 

"Kami sudah bertekad untuk membuang segala kelemahan itu dan sebaliknya memberi fokus dalam perlawanan ini hinggalah wisel penamat dibunyikan," katanya.

 

Kata pemain tengah kebangsaan itu, pemain tidak boleh merasa terlalu selesa apabila mendahului lawan seperti Public Bank yang ternyata mampu bangkit biarpun hanya tinggal sisa-sisa permainan.

 

"Bila kami leka, kami akan terima padahnya dan itulah yang akan kami elakkan.

 

"Saya dan rakan sepasukan berjanji untuk memberikan persembahan terbaik untuk mencapai kejayaan buat penyokong Merah Kuning dalam perlawanan malam ini," katanya.

 

Sementara itu, tiket bagi perlawanan malam ini akan dijual pada petang ini dengan dewasa dikenakan RM10, sementara kanak-kanak RM5.