Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
05.08.05

Tenaga pertahanan tempatan ditagih

Oleh: Berita Harian

Selangor sudah melupakan aksi pertahanan import bagi menghadapi perlawanan pembuka tirai saingan bola sepak Piala Malaysia apabila beberapa pemain yang mahu diuji gagal menghadirkan diri pada tempoh yang ditetapkan.

Malah, jurulatih skuad itu, Dollah Salleh juga bersedia mencongak strategi untuk menghadapi MK Land esok berdasarkan tonggak tempatan yang disifatkannya semakin menunjukkan kematangan selepas muncul juara Liga Perdana di Seremban baru-baru ini.

“Pengambilan pemain import sekadar untuk memantapkannya saja tetapi disebabkan kesuntukan masa dan pemain yang ingin diuji masih belum tiba, saya akan turunkan barisan tempatan yang sudah membuktikan keupayaan yang baik akhir-akhir ini terutama ketika menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan akhir Liga Perdana,” katanya.

Selangor dijadual menguji beberapa pertahanan import dari Ireland, Liberia dan Senegal minggu ini untuk menggantikan khidmat pemain Australia, Badawi Farrah yang ditamatkan kontraknya, sebagai persediaan menghadapi saingan Piala Malaysia.

Sejak kontrak Badawi ditamatkan awal bulan lalu, Selangor bergantung sepenuhnya kepada pemain tempatan di barisan pertahanan.

Benteng Merah Kuning dibarisi pertahanan kebangsaan Nazrul Erwan Makmor dan Saifu Nizam Husin di bahagian tengah sambil D Surendran dan Ahmad Tharmini Saiban masing-masing mengawal bahagian kiri dan kanan.