Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
16.08.05

Undian Selangor-Perak selesa

Oleh: Harian Metro

Mungkinkah perlawanan akhir edisi sulung Piala FA lalu berulang musim ini selepas undian separuh akhir Piala FA dijalankan di Wisma FAM, Kelana Jaya, tengahari semalam?

 

Pada final Piala FA 1990 itu, Azizol Abu Hanifah mengetuai cabaran Perak membenam barisan Selangor yang menampilkan penyerang berkembar mereka, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan, 4-2 di Stadium Merdeka, apabila bangkit di separuh masa kedua selepas ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama.

 

Dalam undian yang dijalankan semalam, Perak dan Selangor yang menjadi pilihan ke final, ditakdirkan tidak bertemu sesama sendiri sebaliknya dalam perlawanan separuh akhir pertama pada 27 Ogos ini, Perak akan menentang Kuala Lumpur, sementara Selangor berdepan Public Bank.

 

Perak akan menanti kehadiran Kuala Lumpur di Stadium Perak, Ipoh, sementara Public Bank akan menjadi tuan rumah kepada Selangor di Stadium Shah Alam.

 

Perlawanan separuh akhir kedua akan diadakan pada 10 September depan dan perlawanan akhir dijangka berlangsung di Stadium Shah Alam pada 24 September.

 

Undian separuh akhir Piala FA semalam disaksikan Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad.

 

Perak begitu sinonim dengan Piala FA apabila mereka dinobatkan sebagai juara sulung kejohanan itu dan menjulang piala itu kali kedua tahun lalu apabila menewaskan Terengganu 3-0 dalam masa tambahan.

 

Bagaimanapun Selangor dan Kuala Lumpur sebenarnya meraih gelaran juara paling banyak iaitu masing-masing tiga kali.

 

Perak, Selangor dan Kuala Lumpur turut berkongsi kedudukan sebagai pasukan paling banyak beraksi di final Piala FA iaitu sebanyak empat kali.