Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.09.05

Bambang ketepi impian peribadi

Oleh: Berita Harian

Sekalipun keinginannya membuak-buak untuk menjaringkan gol pada final Piala FA Sabtu ini, Bambang Pamungkas rela mengenepikan kepentingan peribadi demi memastikan Selangor muncul juara.

 

Penyerang dari Indonesia itu menjelaskan dia tidak akan mengamalkan sikap tamak di depan gol sebaliknya akan mengumpan kepada siapa juga rakan yang dalam posisi lebih baik untuk menjaringkan gol.

 

“Sebagai seorang penyerang semestinya hajat menjaringkan gol sentiasa tersemat di hati apatah lagi pada final. Namun, keutamaan kini ialah memastikan kemenangan Selangor kerana kami sudah menempuh segala kesukaran untuk layak ke final dan peluang meraih kejuaraan tidak harus disia-siakan.

 

“Saya akan bersungguh-sungguh untuk menjaringkan gol tetapi pada masa tidak akan mengenepikan peluang rakan lain. Jika ada rakan dalam posisi lebih baik saya akan umpan kepada mereka dan tidak hirau siapa yang jaringkan gol sekalipun asalkan Selangor menang,” katanya .

 

Bambang yang telah menjaringkan 34 gol termasuk 22 ketika membantu Selangor muncul juara Liga Perdana mengakui keletihan mengharungi jadual padat perlawanan kebelakangan ini yang menjejaskan sedikit prestasinya namun sudah menjalani program khas bagi mengembalikan ketajaman penyudahnya.

 

Penyerang itu yang hanya menjaringkan satu gol dalam tujuh perlawanan terakhir Selangor dan tidak pernah direhatkan sejak awal musim kini lebih banyak menumpukan terhadap pemulihan fizikal untuk mengembalikan kesegaran otot seperti latihan di kolam renang dan gimnasium.

 

“Selepas menjalani program pemulihan fizikal, saya kini berasa lebih cergas dan yakin mampu kembali memburu gol,” kata Bambang.

 

Rakan senegaranya Elie Aiboy turut ceria untuk menghadapi final Piala FA Sabtu ini dan bertekad menyumbang aksi terbaik untuk memastikan kejayaan Selangor.

 

Pemain sayap itu yang terkenal dengan umpanan cantik untuk jentera serangan khususnya Bambang menjaringkan gol mengakui aksinya sedikit terbatas kebelakangan ini akibat kawalan ketat lawan di samping kecederaan hamstring yang dialaminya pada pertengahan musim.

 

“Saya akui pihak lawan ramai yang sudah mengkaji pergerakan saya tapi untuk final ini saya ada strategi khusus untuk mengatasi setiap kawalan. Saya akan gunakan untuk memerangkap lawan dan lakukan hantaran cantik kepada penyerang untuk menjaringkan gol,” katanya.