06.09.05
Dollah hadapi tugas sukar
Oleh: Berita Harian
Jurulatih Selangor, Dollah Salleh mengakui sukar melakukan persiapan sempurna berikutan keletihan yang membelenggu anak buahnya yang berdepan jadual padat kerana terbabit dalam saingan Piala Malaysia dan Piala FA.
Selepas terpaksa mengetepikan kapten, Shukor Adan yang mengutip dua kad kuning serta penjaga gol utama, Jamsari Sabian yang menerima kad merah Sabtu lalu, Dollah sedar aksi pemainnya mula longgar selepas mengharungi banyak perlawanan dalam tempoh yang singkat.
Sambil mengakui kurang berpuashati dengan corak persembahan anak buahnya, Dollah menjelaskan dia berdepan tugas sukar untuk merencana strategi menghadapi Pulau Pinang di gelanggang lawan malam esok selepas hanya menang tipis 2-1, Sabtu lalu.
“Selepas perlawanan Rabu ini, kami terpaksa pula mengharungi saingan separuh akhir kedua Piala FA menentang Public Bank tiga hari kemudian,” katanya.
Sementara itu, jurulatih Pulau Pinang Norizan Bakar menjelaskan pasukannya belum mengaku kalah dan akan bangkit dalam saingan di gelanggang sendiri nanti.
“Kami mencipta beberapa peluang, cuma gagal melakukan jaringan. Saya puas hati dengan komitmen tinggi pemain untuk mencabar Selangor.
“Masih ada baki 90 minit lagi untuk kami mengubah keputusan dan saya yakin pemain saya mampu melakukannya,” katanya.
Selain itu, keyakinan Norizan ditambah dengan kehadiran semula Jose Barreto, Chee Wan Hoe dan Aziz Ismail dalam perlawanan hidup mati perjuangan mereka musim ini.
Sabtu lalu, Barreto dan Wan Hoe diketepikan akibat penggantungan manakala Aziz pula cedera.
Bagi perlawanan esok, hanya pemain tengah V Jaganathan akan direhatkan kerana menerima kad merah semasa bertemu Selangor.