Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.09.05

Dollah tiada tekanan

Oleh: Harian Metro

Tiada sebarang tekanan menghantui jurulatih Selangor, Dollah Salleh, biarpun berdepan dua tugas paling memeritkan dalam tempoh dua minggu ini.

 

Final Piala FA menentang Perak di Stadium Shah Alam, Sabtu ini, dan final Piala Malaysia menentang Perlis, Sabtu depan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, bakal menentukan sama ada impiannya bergelar jurulatih paling berjaya di negara ini tercapai.

 

Kejayaan membawa MPPJ sebagai kelab pertama menjulang Piala Malaysia dua tahun lalu membuktikan ramuan berbisa yang dimilikinya selaku jurulatih muda dan kini Gergasi Merah menagih sentuhan ajaibnya itu.

 

Bekas penyerang kebangsaan itu menggondol Piala Malaysia dua kali ketika mewakili Pahang dan Johor, tetapi terlepas mendakap Piala FA selepas dihampakan Perak 4-2 di Stadium Merdeka pada 1990 ketika menyarung jersi Merah Kuning.

 

“Hanya Piala FA yang belum saya menangi sepanjang karier sebagai pemain dan itu membuatkan saya sedikit terkilan,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Bagaimanapun, impiannya itu mungkin menjadi kenyataan apabila barisan pemain bimbingannya berentap dengan skuad ‘Kejor Yob Kejor’, Sabtu ini.

 

“Sebenarnya, tekanan yang saya lalui musim ini berkurangan apabila matlamat ke final dua piala ini tercapai.

 

“Tetapi, ia mesti diteruskan dan memastikan kedua-dua berada dalam genggaman kerana kami belum mencapainya lagi sekalipun sudah hampir ke penghujung,” katanya.

 

Dollah berkata, tumpuannya kini hanya pada final Piala FA kerana tidak mahu pemain tertekan dengan tugas yang begitu membebankan jika mereka turut fokus kepada final Piala Malaysia.

 

“Hanya yang terbaik akan beraksi Sabtu ini dan kerana itu setiap pemain perlu membuktikan kepada saya mereka adalah yang terbaik.

 

“Saya mahukan yang terbaik kerana ini adalah masa terbaik mereka bagi mencipta kejayaan,” katanya.

 

Katanya, semangat jitu pemain Merah Kuning yang dipertontonkan ketika menentang Terengganu kelmarin begitu menambat hatinya.

 

“Itu adalah salah satu permainan terbaik yang mereka sajikan dan saya mahukan mereka mempersembahkan prestasi seperti itu ketika menentang Perak nanti.

 

“Jika pemain Selangor dapat mengulangi persembahan seperti itu, saya yakin kami akan menjulang Piala FA, Sabtu ini,” katanya.