Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.09.05

Fuentes idam lebur Perak

Oleh: Utusan Malaysia

Brian Fuentes melaungkan keyakinan untuk mencipta jaringan bagi membantu Selangor menewaskan Perak buat menjulang Piala FA, Sabtu ini.

 

Bagi penyerang berasal dari Argentina itu, peluang yang hadir Sabtu ini tidak akan disia-siakan dengan reputasinya sudah menjaringkan 30 gol sehingga kini.

 

Penyerang itu yang mula menyarung jersi Selangor musim lalu mengakui situasi berbeza bermain dalam perlawanan akhir disaksikan kira-kira 70,000 penonton di Stadium Shah Alam.

 

``Lebih manis lagi jika saya dapat menjaringkan gol, anda dapat bayangkan situasi ketika itu dengan pekik laung peminat bergema di seluruh stadium.

 

``Situasi ini yang saya inginkan dan saya berhajat tinggi untuk menjaringkan gol kemenangan buat Selangor,'' ujarnya ketika ditemui di sini, semalam.

 

Fuentes penerima anugerah `Kasut Emas' musim lalu bersama pemain Selangor sempat meluangkan masa bertemu peminat cilik sewaktu majlis penyerahan set jersi Piala Datuk Mohamad Satim Diman di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang.

 

Penyerang berusia 29 tahun itu cukup yakin dengan prestasi semasa skuad Selangor yang dianggapnya paling menyerlah dan mantap jika dibandingkan musim lalu.

 

Dengan reputasi cemerlang itu sejak dari awal musim Liga Perdana hingga layak ke final Piala FA dan Piala Malaysia, Fuentes tidak menafikan kelebihan milik Selangor.

 

``Kini terpulang kepada kami (pemain) untuk menentukan kemenangan memihak buat Selangor. Semangat rakan-rakan selepas pulang dari Terengganu cukup tinggi, masing-masing hendak menang dan begitu juga saya,'' katanya.

 

Fuentes mengakui akan kelibat pemain Perak dianggap mantap dan boleh menjadi penghalang kepada Selangor.

 

Namun dari segi lain pula ujar pemain itu, Selangor juga memiliki kelebihan yang mampu menyaingi Perak di semua posisi.

 

Buat Fuentes, beliau berjanji tidak akan mensia-siakan peluang keemasan untuk mencipta jaringan.

 

Dia akur sedikit peluang yang terhidang jika disia-siakan boleh membawa padah.