Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
07.09.05

Fuentes kini jadi tumpuan

Oleh: Berita Harian

Pemain import Selangor dari Argentina, Brian Fuentes yang dulunya dibayangi penjaring terbanyak pasukannya, Bambang Pamungkas kini menyaksikan dirinya menjadi tumpuan dalam beberapa perlawanan terakhir menerusi sentuhan berbisanya.

 

Bambang yang menjadi penjaring terbanyak Liga Perdana dengan 22 gol, atau 31 bagi semua pertandingan, kini melalui kemarau jaringan dalam lima perlawanan berturut-turut dengan gol terakhirnya hadir pada kemenangan 4-3 ke atas Public Bank dalam perlawanan ketiga kumpulan D Piala Malaysia.

 

Penyerang kelahiran Jawa Tengah, Indonesia itu gagal menembusi gawang dalam tiga pertemuan berturut-turut Piala Malaysia menentang MK Land, Perak dan Public Bank, seterusnya Public Bank pada separuh akhir Piala FA dan yang paling akhir dalam pertemuan suku akhir Piala Malaysia menentang Pulau Pinang, Sabtu lalu.

 

Fuentes yang menghadapi kesukaran mendapatkan tempat dalam barisan itama ketika saingan Liga Perdana akibat kuota tiga pemain import adalah antara pemain yang menarik nafas lega atas keputusan skuad Merah Kuning untuk tidak mengambil pemain import keempat bagi menggantikan Badawi 'Buddy' Farah yang disingkirkan.

 

Kesempatan ini diambil sepenuhnya oleh pemain kelahiran Buenos Aires untuk meledakkan tujuh gol dalam Piala Malaysia musim ini, dengan dua jaringannya dalam kemenangan 2-1 menentang Pulau Pinang pada suku akhir pertama memberikan bekalan satu gol ketika bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini.

 

"Sungguhpun beraksi dalam kebanyakan perlawanan di bahagian sayap, saya masih berupaya untuk menyelinap masuk dalam kotak penalti untuk menjaringkan gol," kata penyerang itu yang sudah meledakkan 28 gol dalam semua kejohanan musim ini.

 

Mengenai kemerosotan prestasi gandingan penyerangnya, Fuentes menjelaskannya ia adalah berpunca daripada jadual perlawanan ketat mereka dalam usaha memburu tiga gelaran iaitu Liga Perdana yang sudah dimenangi mereka, Piala FA dan Piala Malaysia.

 

Selangor terpaksa merombak pasukan selepas kapten, Shukor Adan dan penjaga gol utama mereka, Jamsari Sabian terpaksa diketepikan akibat penggantungan dalam perlawanan malam ini.

 

Shukor yang menerima dia kad kuning dijangka digantikan oleh bekas pemain tengah Telekom Melaka, Nazzab Hidzan manakala penjaga gol muda, Mohd Shahrizan Ismail akan mengekalkan tempatnya selepas persembahan cemerlangnya menangani asakan Harimau Kumbang, Sabtu lalu.

 

Jurulatih, Dollah Salleh juga sedikit gusar dengan tahap kecergasan Elie Aiboy yang mengalami kecederaan sewaktu perlawanan Sabtu lalu dan akan mengetahui sama ada dapat menurunkannya hari ini selepas ujian kecergasan.