Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
20.09.05

Hadiah hari jadi Kapten

Oleh: Harian Metro

Tiada hadiah paling berharga buat kapten Selangor, Shukor Adan, sempena sambutan hari lahirnya yang ke-26, Sabtu ini, melainkan menjulang Piala FA apabila skuad Gergasi Merah berdepan Perak di final di Stadium Shah Alam, pada hari yang sama.

 

Tempoh dua minggu yang bakal dilalui pemain kelahiran Melaka itu begitu bemakna apabila sekali lagi mengemudi skuad Merah Kuning beraksi di final Piala Malaysia menentang Perlis, seminggu kemudian di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 1 Oktober depan.

 

Selepas mengetuai Selangor menewaskan Negeri Sembilan untuk menjulang Piala Liga Perdana, dua piala lagi yang lebih berprestij menjadi buruan kapten kebangsaan itu.

 

Shukor berkata, tugas menggondol kedua-dua piala itu bukan mudah kerana mereka perlu berdepan pasukan penyandang.

 

“Perlis adalah satu pasukan yang kuat kerana mereka mampu mengekalkan kecemerlangan untuk mara ke final Piala Malaysia musim ini selepas menjulangnya tahun lalu, sementara Perak pasti berusaha lebih kuat mempertahankan Piala FA yang dimenangi musim lalu.

 

“Tambahan pula, Perak gagal ke akhir Piala Malaysia musim ini selepas tewas di tangan Perlis dan saya pasti mereka tidak mahu kecewa buat kali kedua,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Selangor mara ke final Piala Malaysia apabila menumpaskan Terengganu dengan agregat 4-2, selepas mengikat Sang Penyu 1-1 di separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.

 

Mereka menewaskan pasukan Pantai Timur itu 3-1 di separuh akhir pertama yang diadakan di Stadium Shah Alam, Rabu lalu.

 

Sebelum itu, mereka menewaskan Public Bank dengan agregat 5-3 dalam perlawanan separuh akhir Piala FA di Stadium Shah Alam.

 

Shukor berkata, momentum kebangkitan Gergasi Merah musim ini perlu diterjemahkan dengan mendakap Piala Malaysia dan Piala FA selepas mereka bertarung dengan jadual padat yang begitu memenatkan.

 

“Musim ini paling mencabar bagi saya kerana jadual perlawanan yang padat menyebabkan kami tidak mendapat rehat mencukupi.

 

“Tetapi, dengan bantuan pengalaman yang ada pada pemain Selangor, kami berjaya melaluinya dengan semangat juang yang tinggi,” katanya.

 

Pesan kapten Selangor itu kepada rakan sepasukannya menjelang dua final itu hanya satu iaitu tidak melepaskan peluang keemasan ini.

 

“Inilah masanya bagi pemain Selangor membuktikan mereka adalah yang terbaik di kalangan semua pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia musim ini.

 

“Peluang sudah di depan mata dan kami tidak boleh melepaskannya dengan mudah sebaliknya perlu berhempas-pulas menjulang kedua-dua piala ini,” katanya.