21.09.05
Jangan lepas peluang
Oleh: Berita Harian
Ketika impian menggenggam tiga kejuaraan musim ini semakin hampir, pengendali Selangor, Dollah Salleh mengingatkan anak buahnya supaya tidak mempersia-siakan peluang terbaik melakar sejarah tersendiri dalam bola sepak tempatan.
Sehubungan itu, tatkala dia sekali lagi mengalihkan fokus pemain terhadap saingan Piala FA menentang Perak Sabtu ini, bekas penyerang kebangsaan itu membakar semangat anak buahnya untuk mengukir nama menjadi sebahagian sejarah unik dan tersendiri sebagai juara mutlak bolasepak tempatan.
Sambil bersimpati dengan ranjau perlawanan demi perlawanan yang terpaksa dihadapi, Dollah berkata, anak buahnya melepasi setiap halangan dengan baik sehingga membolehkan Merah Kuning kini berada di ambang sejarah mencipta 'treble'.
"Sebab itulah saya cukup mengagumi tahap disiplin pemain di dalam mahupun di luar padang kerana dalam keletihan, mereka sentiasa dapat mngeatasi segala cabaran.
"Dan saya sentiasa menyuntik semangat mereka supaya menjadi sebahagian daripada sejarah ini kerana pencapaian sebegini bukan datang setiap hari dan tidak semua pemain pernah merasainya.
Tiada apa yang istimewa untuk menghadapi final Piala FA ini kerana pada tahap ini, pemain tahu apa yang perlu dilakukan dan selepas menempah tempat ke final kelmarin, mereka kini melupakannya seketika dan hanya fokus perlawanan menentang Perak Sabtu ini," katanya semalam.
Pemain Selangor diberi rehat sehari sesudah melepasi halangan separuh akhir kedua menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin. Selangor yang seri 1-1 dalam perlawanan itu, mara ke final Piala Malaysia dengan agreat 4-2.
Mengulas kemungkinan kekuatan Perak di final terjejas ekoran penggantungan penyerang Frank Seator dan pertahanan K Nanthakumar, Dollah berkata, Selangor tidak sekali-kali menganggapnya satu kelebihan.
"Kekuatan sesebuah pasukan bukan bergantung kepada satu atau dua pemain, sebab itulah saya tetap menghormati Perak. Saya anggap peluang Selangor di final nanti masih 50-50," katanya.