20.09.05
Kuasa Sanba
Oleh: Harian Metro
Hanya 15 minit sesi ‘ganyang’ di bilik persalinan diperlukan Dollah Salleh untuk menyedarkan pemainnya bahawa laluan ke perlawanan akhir Piala Malaysia bertemu Perlis sebenarnya sudah dalam genggaman mereka.
Sasarannya ialah pemain tengah pengalaman, K Sanbagamaran yang diberi tugas khas menguasai semula bahagian tengah sehingga mengecewakan 20,000 penyokong Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Dollah mengakui dia memberi suntikan semangat tambahan kepada Sanbagamaran kerana tahu pemain terbabit berupaya mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
“Saya lega apabila Sanba berjaya memikul tugas itu. Sepanjang saya mengenali Sanba, dia pernah menewaskan empat pertahanan sekali gus. Oleh itu, saya tuntut pengalamannya itu untuk baki 45 minit,” katanya.
Sanbagamaran yang ditemui selepas perlawanan mengaku Dollah memintanya memainkan tugas menguasai bahagian tengah yang secara keseluruhannya dikuasai ketua pasukan Terengganu, Zulharisam Awang, Helton Soaeres dan pemain muda, Zairo Anuar Zalani.
“Susah babak pertama kerana Terengganu kental. Sepuluh minit babak kedua pun sukar bagi saya tapi selepas Soares dikeluarkan, baru saya dapat menggerakkan bahagian tengah sehingga menghasilkan gol,” katanya.
Ternyata gol penyamaan Amri Yahyah pada minit ke-56 yang menanduk hantaran lintang Elie Aiboy dari penjuru kiri gawang menyentak semangat anak buah Yunus Alif.
Selangor yang turun ke Kuala Terengganu berbekalkan agregat 3-1, dan cuma diperkukuhkan kira-kira 1,000 penyokong setia pada awal perlawanan tampak goyah di semua bahagian.
Biarpun mampu menyaingi kekuatan bahagian tengah Terengganu. Hampir 20 minit babak pertama, Merah Kuning seolah-olah longlai hingga Terengganu merapatkan agregat kepada 2-3.
Ternyata pengalaman 29 kali beraksi di pentas akhir Piala Malaysia banyak memberikan kelebihan kepada Selangor untuk bertemu Perlis, pada 1 Oktober ini.