Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
20.09.05

Perak & Selangor kongsi kutipan

Oleh: The Star

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa tiada hadiah berupa wang tunai ditawarkan buat juara Piala FA dan naib juara kali ini.

 

Namun kedua-dua pasukan, Perak dan Selangor akan tetap berkongsi hasil kutipan tiket dari perlawanan yang akan berlangsung Sabtu ini.

 

Buat pengetahuan, tahun lalu, juara Perak membawa pulang RM150,000 manakala Terengganu menerima RM75,000. Kedua-dua pasukan turut mendapat 50% hasil kutipan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil setelah ditolak levi Persatuan Bolasepak Malaysia sebanyak 30%.

 

Pada perlawanan akhir kali ini pula FAM akan tetap mengambil 30%. Dari baki kutipan, Perak akan mengambil 55% dan Selangor akan mengambil 45%.

 

Setiausaha FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad berkata semalam selepas mempengerusikan mesyuarat komiti penganjuran perlawanan akhir Piala FA: "Perkara ini telah dipersetujui oleh semua pasukan yang mengambil bahagian dalam Piala FA.

 

"Mengikut jadual perlawanan, Perak merupakan pasukan tuan rumah untuk perlawanan akhir ini. Disebabkan itu, mereka memperolehi peratusan yang lebih tinggi dari hasil jualan tiket meskipun perlawanan berlangsung di Stadium Shah Alam.

 

"Namun pembahagian tiket akan diberikan secara sama rata di antara kedua-dua pasukan. Kami merancang untuk menjual lebih 70,000 tiket yang akan diedarkan mulai Rabu."

 

Tiket dijual dengan harga RM 30 untuk grandstand dan RM15 untuk tempat duduk biasa.

 

Ibrahim turut menambah Perak telah memilih untuk memakai jersi serba putih manakala Selangor dengan jersi tradisi Merah Kuning.

 

Untuk menambah kehangatan perlawanan akhir, penyanyi Hattan akan menyanyikan lagu Negaraku sebelum bermula perlawanan.