Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
18.09.05

Perlawanan ditangguh

Oleh: Berita Harian

Hujan lebat di Kuala Terengganu (Gambar:NSTP)

Selangor dan Terengganu terpaksa menanti hingga esok sebelum menentukan siapa akan menerus langkahan ke final bola sepak Piala Malaysia apabila pertemuan kedua di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam tadi ditangguh akibat hujan lebat.

 

Keputusan menangguhkan perlawanan itu dibuat dalam mesyuarat ringkas yang dihadiri Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh; Setiuasaha PBSNT, Abdullah Salleh; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin; jurulatih Selangor, Dollah Salleh serta semua pegawai perlawanan.

 

Che Mat berkata, keadaan hujan serta petir itu berbahaya kepada pemain dan keputusan itu dipersetujui kedua-dua pasukan.

 

"Kita mengambil kira pandangan pengadil perlawanan, Ahmad Khalidi Supian yang mengatakan padang tidak sesuai untuk digunakan akibat hujan lebat dan petir," katanya.

 

Sementara itu, Dollah ketika diminta mengulas penangguhan itu berkata, Selangor menerima keputusan itu.

 

Sebelum itu, kedua-dua pasukan sempat bermain selama 12 minit sebelum Ahmad Khalidi menghentikan perlawanan berikutan hujan semakin lebat.

 

Penangguhan itu bagaimanapun tidak disenangi penonton yang memenuhi setiap inci tempat duduk stadium dan sebagai tanda protes, sebilangan kecil penonton bertindak membakar mercun dan melontar bom asap. Sekurang-kurangnya enam penonton ditahan polis atas insiden berkenaan.