07.09.05
Pesan kapten
Oleh: Harian Metro
Sekadar menjadi penonton dalam perlawanan hidup atau mati Selangor dalam perjuangan Piala Malaysia menentang Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, malam ini, begitu menyeksakan emosi Shukor Adan.
Kapten pasukan Merah Kuning itu dilayangkan kad kuning kedua dalam perlawanan suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, Ahad lalu, menyebabkan lilitan kapten terpaksa diserahkan kepada K Sanbagamaran.
“Saya memang begitu terkilan sekali kerana tidak dapat beraksi dalam perlawanan ini.
“Inilah pertemuan terpenting bagi Selangor dalam misi kami merangkul Piala Malaysia musim ini,” katanya kepada Arena Metro, semalam.
Selain Shukor, Gergasi Merah kehilangan penjaga gol utama, Jamsari Sabian yang dilayangkan kad merah dalam pertemuan Ahad lalu apabila menampan bola dengan tangan di luar kotak penalti.
Dalam perlawanan suku akhir pertama Ahad lalu, Selangor mencatat kemenangan tipis 2-1 ke atas Pulau Pinang.
Shukor berkata, kelebihan satu jaringan menentang Pulau Pinang belum lagi selamat buat Selangor kerana pasukan Harimau Kumbang itu bakal turun dengan skuad terkuat mereka.
“Dalam perlawanan malam esok (ini) mereka boleh menggunakan khidmat kapten pasukan, Jose Baretto dan Chee Wan Hoe.
“Jadi, ini ujian getir bagi pemain Selangor kerana perlu mempertahankan kelebihan satu gol itu,” katanya.
Mengenai Sanbagamaran yang ditugaskan sebagai kapten dalam perlawanan malam ini, Shukor berkata, dia begitu yakin dengan bekas pemain kebangsaan itu terutama selepas membantu Sabah layak ke final dua kali sebelum ini.
“Saya pasti Sanbagamaran tidak tertekan memegang tanggungjawab ini kerana dia seorang pemain yang cukup berpengalaman dalam perlawanan genting seperti ini.
“Dia adalah seorang pemain yang mempunyai karisma tinggi dan mampu memimpin rakan lain,” katanya.
Jauh di sudut hati pemain kelahiran Melaka itu mengatakan Selangor bakal melangkah ke separuh akhir.
“Saya percaya kepada keupayaan semua pemain Selangor dan mereka pasti memberi kemenangan dalam perlawanan malam esok.
“Jika mereka mempamerkan permainan terbaik masing-masing, Selangor pasti ke separuh akhir,” katanya.
Kata Shukor, satu saja pesannya kepada rakan lain iaitu mereka perlu memberi tumpuan dari saat wisel permulaan ditiup kerana Pulau Pinang pasti berusaha mendapatkan gol awal secepat mungkin.
“Mereka perlu mempertahankan kelebihan ini kerana hanya inilah peluang yang tinggal selepas menempuh kesukaran untuk sampai ke peringkat ini,” katanya.
“Saya meminta mereka supaya jangan melepaskan peluang keemasan ini bagi menghidupkan harapan mengecapi Piala Malaysia musim ini,” katanya