Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.09.05

Sanba minat tambah koleksi

Oleh: Berita Harian

Pada usia 33 tahun, K Sanbagamaran sudah mengucup kesemua trofi utama liga bolasepak tempatan - Piala Malaysia, Piala FA, Piala Liga Perdana, Piala Sumbangsih serta kejuaraan Perdana Satu dan Dua.

 

Namu, ia bukan bermakna perancang tengah pasukan Merah Kuning itu tidak berminat lagi menambah koleksi kejuaraannya apabila pasukan itu melakukan percaturan terakhir di final Piala FA bertemu juara bertahan Perak di Stadium Shah Alam Sabtu ini.

 

Bagi pemain yang menetap di Kajang itu, peluang untuk menambah kejuaraan pada ketika sisa-sisa aksi hampir di penghujung, mengundang keazaman tinggi membantu Selangor terutamanya ke arah memastikan tiga piala dalam genggaman musim ini.

 

"Kami perlu mengambil setiap peluang. Saya yakin dengan keupayaan pasukan ini bertindak pada masanya tetapi pada masa sama, kami tetap menghormati Perak sebagai juara bertahan.

 

"Apa yang saya banggakan pasukan Selangor kali ini memang berwibawa dengan semangat yang tinggi serta sanggup berjuang hingga 90 minit," katanya ketika ditemui selepas latihan di Padang PKNS, semalam.

 

Sanbagamaran memulakan aksi bersama Selangor pada musim 1991, pernah beraksi di sisi jurulatihnya sekarang Dollah Salleh serta nama-nama terbilang seperti Zainal Abidin Hassan, Khan Hung Meng, Razali Alias dan K Gunalan.

 

Dia beralih arah dengan memperagakan kemahiran dan pengalamannya bersama pasukan Sabah selama empat musim sejak musim 2001 sebelum kembali ke pasukan negeri kelahirannya awal musim ini.

 

Pada 1991, dia berada dalam skuad Selangor yang memenangi Piala FA buat pertama kali dengan menewaskan Perak 1-0 pada final tetapi tidak berpeluang beraksi dalam barisan utama itu sebelum mengemudi pasukan berkenaan meraih kejuaraan kedua pada 1997 hasil keputusan 1-0 ke atas Pulau Pinang pada final di Ipoh.

 

"Selepas menjulang hampir kesemua piala yang dipertandingkan dalam liga tempatan, hanya satu yang menjadi idaman saya iaitu kejuaraan Liga Super tahun depan," katanya.

 

Selain final Piala FA Sabtu ini, Selangor turut mengejar kejuaraan ketiga musim ini apabila mara ke final Piala Malaysia menentang Perlis di Bukit Jalil pada 1 Oktober.

 

Pasukan Merah Kuning itu mengecap kejuaraan pertama mereka musim ini menerusi Piala Liga Perdana setelah mengalahkan Negeri Sembilan pada final. Juara Piala Malaysia 29 kali itu akan beraksi julung kali dalam Liga Super musim depan.