04.09.05
Selangor 2 P Pinang 1 (Piala Malaysia)
Oleh: misai117
Brian Diego Fuentes muncul hero Selangor apabila dua jaringannya pada setiap babak perlawanan berjaya memberikan Selangor kelebihan satu gol untuk perlawanan separuh akhir kedua Rabu ini, apabila Selangor berjaya menewaskan Pulau Pinang 2-1 di Stadium Shah Alam dalam saingan separuh akhir pertama TM Piala Malaysia 2005, malam tadi.
Biarpun Selangor terpaksa beraksi 10 pemain hampir 60 minit perlawanan setelah Jamsari Sabian dilayangkan kad merah pada minit ke-33, namun perlawanan kembali seimbang apabila pemain Pulau Pinang, V. Jaganathan dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah pada pertengahan separuh masa kedua.
Selangor turun dengan kesebelasan utama kecuali Tharmini Saiban yang digantung satu perlawanan. Posisi pertahanan kanan milik Tharmini Saiban diisi oleh D.Surendran sementara posisi pertahanan kiri diisi oleh P.Gunalan.
Babak awal perlawanan menyaksikan jentera serangan tuan rumah terus menerus menguji benteng pertahanan lawan sehinggalah Selangor dihadiahkan sepakan percuma pada minit ke-13.
Berpunca dari sepakan penjuru dari sebelah kanan oleh Elie Aiboy, bola hantaran beliau ditanduk tipis oleh Shukor Adan sebelum berjaya ditolak mudah oleh Brian Fuentes untuk tuan rumah mendahului 1-0.
Namun, Pulau Pinang bingkas melawan apabila nyaris menyamakan kedudukan dua minit kemudian. Hasil kesilapan Nazrul Erwan, penyerang import Pulau Pinang, Melnikov hanya berhadapan satu lawan satu dengan Jamsari Sabian, namun sepakan penyudah oleh Melnikov sedikit tersasar.
Pada minit ke-17, pemain Pulau Pinang, V. Jaganathan dilayangkan kad kuning pertama perlawanan setelah mengkasari pemain Selangor.
10 minit selepas itu, ketua pasukan Selangor, Shukor Adan pula dilayangkan kad kuning dan sekaligus memaksa Shukor Adan disisihkan dalam perlawanan kedua Rabu depan kerana kad kuning tersebut adalah yang kedua dikutip beliau dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Selangor terus rancak menyerang selepas itu dan nyaris menambah jaringan menerusi percubaan-percubaan menarik daripada Brian Fuentes, Bambang Pamungkas dan juga Amri Yahyah.
Namun, segalanya berubah pada minit ke-33 apabila kesilapan Saifulnizam Hussain menolak lemah hantaran ke belakang kepada Jamsari Sabian membolehkan Melnikov merampas bola tersebut. Jamsari Sabian berjaya melakukan hadangan di luar kotak penalti tetapi percubaan Melnikov itu terkena tangan Jamsari Sabian ketika penjaga gol Selangor itu berada di luar kotak penalti.
Akibatnya, Jamsari Sabian terus dilayangkan kad merah dan Dollah Salleh terpaksa mengeluarkan Saifulnizam Hussain bagi memasukkan Shahrizan Ismail untuk menjaga gawang gol Selangor.
Shahrizan Ismail yang baru masuk terus diuji dengan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti dan beliau berjaya meyakinkan penyokong tuan rumah apabila melayangkan badan untuk menepis keluar sepakan percuma tersebut pada minit ke-36.
Pada minit ke-40, Pulau Pinang hampir menyamakan kedudukan menerusi Melnikov. Namun, sepakan beliau hanya singgah ke tiang sebelah kiri tatkala Shahrizan Ismail hanya mampu melihat sepakan tersebut.
Tamat separuh masa pertama, Selangor mendahului Pulau Pinang, 1-0.
Babak kedua bermula dengan Selangor yang beraksi 10 pemain terpaksa berhadapan 11 orang pemain Pulau Pinang untuk baki 45 minit perlawanan. Permainan baru berusia 90 saat dan Dudu sudah mula menguji Shahrizan Ismail apabila rembatan kencang beliau berjaya ditumbuk Shahrizan Ismail dan percubaan susulan oleh penyerang Pulau Pinang terus meliar.
Pada minit ke-50, Selangor memasukkan bekas penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus bagi menggantikan Elie Aiboy yang tercedera.
Pulau Pinang akhirnya berjaya juga memecah kubu kental Shahrizan Ismail apabila serangan pantas hasil hantaran satu dua di antara V. Jaganathan dan Dudu berjaya disudahkan dengan jaringan kencang oleh Dudu pada minit ke-55 untuk mengikat kedudukan 1-1.
Pada minit ke-59, Selangor sepatutnya mendahului apabila bola kelam kabut di hadapan pintu gol Pulau Pinang telah terkena palang atas gol Pulau Pinang dan kelihatan bola tersebut sudah melepasi pintu gol namun berjaya dikeluarkan pertahanan Pulau Pinang.
Sepakan susulan pula menyaksikan bola ditumbuk keluar oleh penjaga gol Pulau Pinang, Kamarulzaman Hassan dan Selangor terlepas peluang untuk mendahului.
Pada minit ke-62, Amri Yahyah pula dilayangkan kad kuning.
Ketika Selangor dilihat lebih banyak bertahan, peluang untuk mereka kembali menyerang terbuka akhirnya apabila V. Jaganathan dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-67 dan memaksa Pulau Pinang juga terpaksa beraksi dengan 10 pemain untuk baki 23 minit perlawanan.
Lima minit selepas itu, Selangor berjaya juga mendapatkan gol kedua apabila hantaran lintang P.Gunalan dari sebelah kiri berjaya ditanduk dengan bergaya oleh Brian Fuentes dan hanya dapat ditepis sedikit oleh Kamarulzaman Hassan dan bola terus menerjah jaring untuk Selangor mendahului 2-1 pada minit ke-72.
Pada minit ke-75, Amri Yahyah dikeluarkan dan Selangor memasukkan Nazzab Hidzan.
Kedua-dua pasukan terus mengancam kubu lawan pada 10 minit terakhir perlawanan, namun setelah tamat 3 minit masa kecederaan yang diberikan pengadil, kedudukan kekal untuk Selangor menang ke atas Pulau Pinang 2-1.
Perlawanan kedua akan berlangsung di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada hari Rabu depan.
SELANGOR: Jamsari Sabian , D.Surendran, Nazrulerwan Makmor, Saiful Nizam Husin (Shahrizan Ismail), P.Gunalan, Shukor Adan, Elie Aiboy (Khalid Jamlus), Brian Fuentes, K.Sanbagamaran, Bambang Pamungkas, Amri Yahyah (Nazzab Hidzan).