11.09.05
Selangor 3 Public Bank 1 (Semi Piala FA 2)
Oleh: misai117
Selangor mara ke perlawanan akhir bolasepak TM Piala FA 2005 pada 24 September depan setelah menewaskan Public Bank 3-1 dalam perlawanan separuh akhir ke-2 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Bermula babak pertama, Public Bank dilihat lebih dahulu menguasai bahagian tengah dan mula mengasak ke kubu pertahanan Selangor yang diketuai Nazrul Erwan.
Hasilnya, seawal minit ke-3, Public Bank sudah di hadapan apabila hantaran lintang Hardi Ahmad dari sebelah kanan berjaya dikuis cantik oleh Gustavo Fuentes dan bola terus bergolek masuk ke gawang Selangor sambil hanya mampu diperhatikan oleh Shahrizan Ismail.
Jaringan tersebut menyedarkan para pemain Selangor dan mereka mula bersungguh-sungguh untuk mengawal permainan. Aksi keras turut disajikan oleh dua bekas pemain Selangor yang beraksi untuk Public Bank dalam perlawanan ini iaitu Aiman Wong dan Fareed Shah.
Namun, Selangor tidak perlu menunggu lama apabila hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Elie Aiboy berjaya disambut oleh Khalid Jamlus yang kemudiannya merembat leret untuk menewaskan G.Jeevanathan pada minit ke-11 bagi mengikat kedudukan 1-1.
Pada minit ke-16 berlaku ketegangan apabila D.Surendran dikasari Aiman Wong. Insiden tersebut mengundang rasa marah kapten Selangor, K.Sanbagamaran dan pemain Public Bank, Fareed Shah cuba campur tangan dan mencekik kapten pasukan Selangor itu.
Akibatnya, Fareed Shah dilayangkan kad merah sementara K.Sanbagamaran dan Aiman Wong masing-masing menerima kad kuning.
Beraksi menentang lawan yang hanya mempunyai 10 pemain, Selangor mula mendominasi perlawanan dengan melakukan beberapa cubaan yang nyaris menghasilkan gol.
Pada minit ke-24, hantaran lintang Elie Aiboy tepat ke dalam kotak penalti, namun Khalid Jamlus cuba mendada bola tersebut dan belum sempat beliau melakukan rembatan, pertahanan Public Bank berjaya mengeluarkan bola tersebut.
4 minit kemudian, Khalid Jamlus sekali lagi terlepas peluang apabila gerakan satu dua beliau bersama Brian Fuentes berjaya diselamatkan oleh pertahanan Public Bank, Nazri Nor ketika gawang gol sudah terbuka luas.
Selangor akhirnya berjaya mendapat gol kedua pada minit ke-35 apabila sepakan penjuru D.Surendran dari sebelah kanan berjaya ditanduk tipis oleh K.Sanbagamaran seterusnya disambar baik oleh Bambang Pamungkas, sekaligus menamatkan kemarau gol yang dihadapi oleh Bambang Pamungkas sebelum ini.
Dua minit kemudian, Brian Fuentes terus melebarkan perbezaan gol apabila menanduk cantik sepakan percuma dari tengah padang oleh Nazzab Hidzan untuk kedudukan separuh masa pertama, Selangor mendahului 3-1.
Babak kedua bersambung dengan tiada sebarang daripada kedua-dua pasukan.
Pada minit ke-51, sepakan percuma dari sebelah kiri diambil oleh pemain import Public Bank, Ivan Ziga tetapi mujur sepakan tersebut berjaya dikuis cantik oleh Shahrizan Ismail yang bertindak melayangkan badan untuk menyelamatkan bola tersebut.
Selepas itu, Public Bank melakukan dua pertukaran serentak dengan memasukkan Nizarudin Yusof dan Amir Shahreen Mubin.
Selangor pula melakukan pertukaran pertama dengan memasukkan Amri Yahyah bagi menggantikan Bambang Pamungkas pada minit ke-57.
Kemasukkan Amri Yahyah gagal menghidupkan jentera serangan Selangor, sebaliknya menjadikan rentak perlawanan menjadi perlahan.
Pada minit ke-72, Selangor terus merehatkan tonggak utama apabila mengeluarkan Nazzab Hidzan dan memasukkan pemain muda, Razman Roslan.
Public Bank sekali lagi nyaris merapatkan jurang gol tatkala para pemain Selangor kelihatan agak kurang bernafsu untuk menambah jaringan. Hasil sepakan percuma dari Ivan Ziga, bola terus singgah ke palang gol Selangor dan sekali lagi menyelamatkan kubu gol Selangor dari dibolosi pada minit ke-78.
Pada minit ke-80, Khalid Jamlus terlepas peluang apabila bola hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Elie Aiboy, sekadar disepak tinggi oleh beliau tatkala hanya berhadapan dengan G.Jeevanathan.
Empat minit kemudian, Selangor melengkapkan pertukaran pemain apabila memasukkan Saifulnizam Hussain bagi merehatkan Nazrul Erwan Makmur.
Ketika aksi dua minit masa kecederaan, Selangor hampir menambah jaringan apabila dua penyerang mereka, Khalid Jamlus dan Brian Fuentes berjaya melepasi perangkap offside. Namun, Khalid Jamlus lambat melorongkan bola kepada Brian Fuentes yang selepas itu hanya merembat lemah bola hantaran dari Khalid Jamlus.
Wisel penamat ditiup oleh pengadil perlawanan dan Selangor mara ke perlawanan akhir TM Piala FA 2005 dengan agregat 5-3 untuk bertemu Perak yang menyingkirkan Kuala Lumpur dengan agregat 4-3 meskipun tewas 2-3 dalam perlawanan malam tadi.
SELANGOR: Shahrizan Ismail, D.Surendran, Nazrulerwan Makmor (Saifulnizam Hussain), Tharmini Saiban, P.Gunalan, Nazzab Hidzan (Razman Roslan), Elie Aiboy, Brian Fuentes, K.Sanbagamaran, Bambang Pamungkas (Amri Yahyah), Khalid Jamlus.