25.09.05
Selangor 4 Perak 2 (Final Piala FA)
Oleh: wan_fakhrul
SELANGOR muncul pemenang pertama trofi baru Piala FA yang dipertaruhkan dalam perlawanan akhir TM Piala FA 2005 di Stadium Shah Alam malam tadi setelah menumpaskan juara tahun lalu, Perak dengan jaringan 4-2.
Perlawanan yang disaksikan hampir 80,000 penonton itu menyajikan enam gol dari kedua-dua pasukan sepanjang 90 minit perlawanan.
Gol-gol pasukan Selangor dijaringkan oleh Bambang Pamungkas (minit ke-7 & minit ke-86), Elie Aiboy (minit ke-42) dan Brian Fuentes (minit ke-67).
Gol-gol pasukan Perak pula dijaringkan oleh Troare Abdoulaye (minit ke-23) dan Mohd Nor Ismail (minit ke-87).
Pemain import Selangor, Elie Aiboy diisytiharkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir TM Piala FA 2005.
Berikut ialah rentetan aksi-aksi menarik sepanjang perlawanan akhir malam tadi.
SEPARUH MASA PERTAMA:
Minit 1:
Selangor mendapat sepakan percuma di awal perlawanan, namun sepakan yang diambil oleh D.Surendran terus ke dakapan Hamsani Ahmad.
Minit 2:
Keita Mandjou menanduk sipi hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Shahrulnizam Mustafa.
Minit 3:
Keita Mandjou sekali lagi melepaskan peluang apabila sepakannya berjaya ditampan keluar oleh Jamsari Sabian selepas menerima hantaran dari tengah oleh Troare Abdulaye.
Minit 6:
Bambang Pamungkas melepasi barisan pertahanan Perak namun dijatuhkan betul-betul di luar kotak penalti oleh V.Thirumurugan.
Minit 7:
Gol pertama Selangor menerusi sepakan percuma yang diambil oleh Bambang Pamungkas terus melepasi benteng Perak dan bola terus menuju ke penjuru kiri pintu gol Perak menewaskan Hamsani Ahmad.
Minit 10:
Amri Yahyah mencuba dari jauh, namun bola melepasi palang gol Perak.
Minit 11:
Troare Abdulaye menanduk sedikit melepasi palang gol Selangor.
Minit 20:
Sepakan deras Amri Yahyah dari dalam kotak penalti terkena tangan Marian Juhas dan bola terus ke dakapan Hamsani Ahmad.
Minit 23:
Gol pertama Perak setelah Troare Abdulaye menerima hantaran dari sebelah kanan oleh Shahrulnizam Mustafa. Dua pertahanan Selangor, Tharmini Saiban dan D.Surendran gagal menghalang hantaran lintang tersebut.
Minit 26:
Hantaran lintang dari sebelah kanan oleh D.Surendran berjaya disambut Bambang Pamungkas yang membuat sepakan gunting ke arah Brian Fuentes, namun Brian Fuentes dipersalahkan kerana berkedudukan offside.
Minit 27:
Troare Abdulaye melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun sedikit sipi di sebelah kiri pintu gol Selangor.
Minit 30:
Sepakan percuma dari sebelah kiri oleh Wirat Nom ditanduk sipi oleh Troare Abdulaye.
Minit 40:
Amri Yahyah membuat hantaran lambung dari sebelah kiri tepat kepada Bambang Pamungkas, namun tandukan Bambang agak perlahan dah terus ke dakapan Hamsani Ahmad.
Minit 42:
Gol kedua Selangor menerusi Elie Aiboy yang merembat deras dari jarak 30 ela selepas menerima hantaran Amri Yahyah dari sebelah kiri. Elie Aiboy menguis sedikit hantaran Amri Yahyah, kemudian memusingkan badan lantas melepaskan sepakan kaki kanan terus ke penjuru kiri Hamsani Ahmad.
Minit 45:
Ahmad Shahrul Azhar gagal merembat tepat ke arah pintu gol Selangor sesudah mendapat bola hasil kesilapan Nazrul Erwan.
SEPARUH MASA KEDUA:
Minit 45:
Harizul Izuan masuk menggantikan Yoganathan.
Minit 51:
Brian Fuentes melepaskan peluang keemasan apabila merembat tinggi hantaran lintang Elie Aiboy meskipun pintu gol sudah terbuka luas.
Minit 53:
Rembatan Keita Mandjou tepat ke tiang kiri pintu gol Selangor selepas beliau menerima hantaran pendek dari Harizul Izuan.
Minit 59:
Tandukan Keita Mandjou nyaris tepat ke sasaran setelah beliau menerima hantaran lintang dari sebelah kiri oleh Troare Abdulaye.
Minit 60:
D.Surendran menerima kad kuning sesudah membuat terjahan keras ke atas Troare Abdulaye.
Minit 64:
Perak dihadiakan sepakan percuma betul-betul di luar kotak penalti Selangor, namun sepakan Syamsul Saad sedikit tinggi melepasi palang gol.
Minit 67:
Gol ketiga Selangor menerusi sepakan lambung oleh Brian Fuentes yang memerangkap Hamsani Ahmad yang sudah terkeluar dari posisi. Gol tersebut hasil serangan balas pantas oleh jentera serangan Selangor.
Minit 68:
Ahmad Shahrul Azhar dilayangkan kad kuning selepas mengkasari Amri Yahyah.
Minit 68:
Mohd Nor Ismail masuk menggantikan Shahrulnizam Mustafa.
Minit 71:
Khalid Jamlus masuk menggantikan Amri Yahyah yang tercedera.
Minit 72:
Khalid Jamlus nyaris menambah jaringan gol Selangor apabila menerima hantaran lambung dari sebelah kanan oleh Elie Aiboy, namun Khalid Jamlus sekadar menyepak tinggi melepasi palang gol.
Minit 74:
Ahmad Noreffendy Yatim masuk menggantikan Ahmad Shahrul Azhar.
Minit 76:
Keita Mandjou gagal menolak tepat ke arah pintu gol Selangor setelah keadaaan kelam kabut di hadapan pintu gol hasil kesilapan P.Gunalan.
Minit 82:
Mohd Nor Ismail sekadar menyepak sipi ke arah pintu gol Selangor.
Minit 85:
Percubaan sambil berlari oleh Elie Aiboy dari luar kotak penalti sedikit tersasar.
Minit 86:
Gol keempat Selangor menerusi tandukan cantik Bambang Pamungkas setelah Elie Aiboy melambungkan bola dari penjuru kanan. Bambang Pamungkas berjaya melepasi kawalan Syamsul Saad dan terus menanduk tepat ke penjuru kanan pintu gol Perak.
Minit 87:
Gol kedua Perak setelah Mohd Nor Ismail berjaya menanduk masuk bola hantaran lintang dari sebelah kanan oleh Wirat Nom.
Minit 91:
Khalid Jamlus berjaya melepasi perangkap offside, namun beliau tidak mahu mencuba terus lalu menghantar bola kepada Elie Aiboy yang merembat lambung setelah diasak Hamsani Ahmad.
BARISAN PEMAIN:
PERAK:
23-Hamsani Ahmad, 14-V.Thirumurugan, 4-Marian Juhas, 5-Syamsul Saad, 8-Chan Wing Hong, 6-Shahrulnizam Mustafa (19-Mohd Nor Ismail), 12-Wirat Nom, 7-Ahmad Shahrul Azhar (16-Ahmad Noreffendy Yatim), 18-Yoganathan (20-Harizul Izuan), 10-Keita Mandjou, 11-Troare Abdulaye.
SELANGOR:
1-Jamsari Sabian, 19-D.Surendran, 2-Tharmini Saiban, 5-Nazrul Erwan, 15-P.Gunalan, 8-Elie Aiboy, 12-K.Sanbagamaran, 25-Shukor Adan, 17-Amri Yahyah (23-Khalid Jamlus), 10-Brian Fuentes, 20-Bambang Pamungkas.
Pemain Simpanan Selangor yang tidak diturunkan:
22-Shahrizan Ismail, 18-Aiman Firdaus, 14-S.Sivaram, 7-Nazzab Hidzan, 9-Haris Safwan, 6-Saifunizam Hussain.
PENGADIL: Ibrahim Muhammad.