Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
08.09.05

Selangor hampiri impian ke-30

Oleh: Harian Metro

Gergasi Merah semakin menghampiri impian mendakap Piala Malaysia kali ke-30 apabila melangkah ke separuh akhir selepas menumpaskan Pulau Pinang dengan agregat 3-2 apabila seri 1-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di Stadium Bandaraya, malam tadi.

 

Bekalan 2-1 yang dibawa ke Pulau Pinang digunakan sepenuhnya anak buah Dollah Salleh apabila menggegarkan gawang lawan pada minit ke-11 menerusi tandukan penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus.

 

Gol itu berpunca daripada rembatan penyerang import dari Indonesia, Bambang Pamungkas yang gagal ditampan kemas penjaga gol Pulau Pinang, Kamaruzzaman Hassan, dan bola muntah itu ditanduk sempurna Khalid untuk memberi kelebihan agregat 3-1 kepada Selangor.

 

Tanpa tonggak pasukan, Shukor Adan dan Jamsari Sabian yang menjalani penggantungan, Selangor mempamerkan prestasi terbaik pada separuh masa pertama dengan persembahan kemas dan penuh disiplin.

 

Gawang Selangor yang dikawal Shahrizan Ismail, dan pertahanan tengah yang dikemudi Nazruleerwan Makmor dan Ahmad Tarmini Sabian, berjaya menggagalkan percubaan serangan Pulau Pinang yang diketuai penyerang import, Viatcheslav Melnikov.

 

Kelebihan dua jaringan dalam genggaman Selangor menyebabkan mereka lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua tetapi tindakan itu hampir membawa padah apabila tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-90 menerusi penyerang gantian, Zulhissyam Jamaludin.

 

Bagaimanapun, gol tunggal Pulau Pinang itu gagal memadamkan kelebihan Selangor yang melangkah ke separuh akhir dengan agregat 3-2 dan akan menanti kunjungan Terengganu di Stadium Shah Alam, Rabu depan.

 

Terengganu mara ke separuh akhir selepas menundukkan Kedah menerusi sepakan penalti 4-2 selepas mengikat kedudukan agregat 3-3.

 

Dollah yang begitu berpuas hati dengan persembahan anak buahnya malam tadi berkata, banyak aspek yang perlu diperbaiki lagi bagi menghadapi ujian getir di separuh akhir nanti.

 

“Menghadapi Terengganu akan menjadi ujian sebenar Selangor kerana pasukan Pantai Timur ini sudah membuktikan kekuatan mereka apabila menumpaskan Kedah dan sebelum itu menumbangkan Perlis di peringkat kumpulan.

 

“Ini adalah peluang terbaik dan pemain mesti menggunakan kesempatan ini bagi membawa Piala Malaysia sekali lagi ke Selangor,” katanya.

 

Tanpa mahu memikirkan mengenai pertemuan menentang Terengganu Rabu depan, Dollah berkata, dia masih perlu mengatur strategi terbaik berdepan cabaran Public Bank dalam separuh akhir kedua Sabtu ini di Stadium Shah Alam.

 

“Ini juga perlawanan penting bagi Selangor kerana hanya selangkah lagi untuk mara ke final Piala FA.

 

“Saya tetap berharap pemain mampu mempamerkan prestasi terbaik mereka walaupun menghadapi jadual perlawanan begitu ketat setakat ini,” katanya.

 

Dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 2-2