Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
22.09.05

Selangor kekal barisan pemain

Oleh: Utusan Malaysia

Selangor yang bakal berdepan dengan Perak dalam perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini dan kemudian dengan Perlis untuk merebut Piala Malaysia pula pada 1 Oktober ini akan mengekalkan hampir kesemua barisan pemain musim ini untuk musim depan termasuk dua pemain import dari Indonesia.

 

Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, ini kerana kesemua pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi sehingga menjuarai Liga Perdana dan kini berpeluang mencipta rekod jika berjaya membawa pulang Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim.

 

Menurutnya, pada masa yang sama, Selangor juga akan mencari seorang lagi pemain import untuk mengisi satu lagi kuota yang ada dengan tumpuan utama diberikan kepada pemain dari Indonesia atau negara jiran yang lain.

 

``Strategi kita membawa pemain dari Indonesia iaitu Bambang Pamungkas dan Ellie Aiboy ternyata berjaya menarik penonton termasuk warga Indonesia di sini apabila kutipan tiket mencapai RM2.775 juta setakat ini dan bakal mencecah melebihi RM3 juta menjelang dua perlawanan akhir itu,'' katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, semalam.

 

Seorang lagi pemain import Selangor ialah penyerang dari Argentina, Brian Fuentes.