09.09.05
Selangor tanpa Shukor?
Oleh: Berita Harian
Tatkala persiapan sedang rapi diadakan untuk menghadapai dua perlawanan penting separuh akhir, Selangor dikejutkan dengan perkhabaran terbaru apabila kapten mereka Shukor Adan kini terpaksa menjalani rawatan kesihatan.
Tunggak tengah itu disahkan mengalami sakit serius di bahagian hempedu selepas menjalani pemeriksaan di sebuah hospital pakar di Pulau Pinang kelmarin ketika juara Liga Perdana itu mengesahkan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan pasukan Pulau Mutiara itu dengan agregat 3-2.
Shukor yang tidak beraksi dalam perlawanan itu akibat penggantungan automatik selepas menerima kad kuning kedua menjalani pemeriksaan kesihatan selepas mengalami sakit perut dan menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Pakar Subang Jaya semalam untuk mengetahui lebih lanjut keadaannya.
Situasi itu tamparan buat Selangor yang begitu memerlukan khidmat pemain itu yang menjaringkan beberapa gol penting memastikan mereka mara ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia.
"Shukor mengadu sakit perut ketika di pulau Pinang dan selepas dibawa melakukan pemeriksaan kesihatan didapati dia mengalami masalah hempedu tersumbat.
"Kami sudah usahakan dia menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Pakar Subang Jaya dan sekiranya sakitnya itu serius kami mungkin terpaksa melupakan khidmatnya hingga akhir musim," kata jurulatih Selangor Dollah Salleh.
Dollah menegaskan sekalipun hampir pasti kehilangan khidmat Shukor pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Public Bank esok, dia masih yakin Selangor mampu meneruskan kemaraan ke final.
"Ketiadaan Shukor pasti dirasai tetapi Selangor mempunyai pengganti berwibawa untuk memikul cabaran. Nazzab (Hidzan) sudah membuktikan dia mampu mengemudi jentera tengah dengan baik seperti yang dibuktikan ketika menentang Pulau Pinang semalam.
"Saya turunkan dia sekali lagi di separuh akhir nanti jika Shukor sah tidak dapat beraksi sambil (K) Sanbagamaran akan memikul tugas sebagai kapten," katanya yang turut tidak dapat menurunkan penjaga gol utama Jamsari Sabian yang masih menjalani penggantungan akibat kad merah menentang Public Bank esok.
Keputusan mengenai keadaan kesihatan Shukor dijangka diketahui lewat malm tadi.