09.09.05
Selangor tetap berselera juara berganda
Oleh: Berita Harian

Pegawai FAS bersama cenderahati peminat (Gambar:NSTP)
Juara Liga Perdana Selangor memasang impian untuk muncul pasukan pertama menjulang tiga kejuaraan utama semusim selepas memastikan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia kelmarin.
Skuad bimbingan Dollah Salleh itu turut layak ke separuh akhir Piala FA musim ini tidak akan mengorbankan salah satu kejuaraan itu sekalipun berdepan jadual padat perlawanan separuh akhir kedua-dua piala itu yang diadakan selang tiga hari di samping pemain mereka yang keletihan.
Pengurus pasukan Datuk Satim Diman berkata pasukan itu sudah menempuh segala kesukaran untuk melayakkan diri ke separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia dan tidak akan sekali-kali mensesiakannya.
"Selangor sudah lama tidak menjulang kedua-dua piala dan inilah masa terbaik melakukannya. Sekalipun pemain keletihan kerana sudah menempuh banyak perlawanan dalam tempoh dua minggu terakhir ini, kami akan cuba menurunkan barisan terbaik dalam kedua-dua saingan.
"Saya percaya, didorong semangat dan komitmen tinggi oleh semua pemain ketika ini, kami tidak perlu menumpukan hanya kepada Piala Malaysia yang menjadi sasaran utama tetapi percaya boleh memenangi kedua-duanya," katanya pada sidang akhbar di Wisma Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) di Kelana Jaya semalam.
Selangor yang mengesahkan kejuaraan Liga Perdana selepas menewaskan Negeri Sembilan Julai lalu kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2002 selepas menewaskan Sabah, manakala Piala FA pada 2001 dengan menundukkan Sarawak.
Skuad itu memastikan kemaraan ke separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Pulau Pinang menerusi agregat 3-2 dan akan mengharungi separuh akhir pertama menentag Terengganu 14 September ini, tiga hari selepas mengharungi separuh akhir kedua Piala FA menentang Public Bank sesudah kedudukan terikat 0-0 pada perlawanan pertama.
Sementara it, sebagai menghargai sokongan peminat setia FAS turut mengadakan tawaran istimewa kepada pembeli tiket perlawanan separuh akhir Piala FA dan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam.
Tawaran istimewa itu ialah sehelai baju atau topi kepada setiap pembelian dua tiket dewasa untuk menyaksikan perlawanan terbabit.
Tiket berharga RM15 untuk dewasa dan RM5 kanak-kanak akan mula dijual jam 9.30 pagi di Stadium Shah Alam pada 10 September untuk separuh akhir Piala FA dan 14 September Piala Malaysia dan FAS menyediakan 13 000 baju dan topi berasaskan siapa cepat.