22.09.05
Semangat juang lebih penting
Oleh: Berita Harian
'Berjuanglah kerana cintakan negeri dan pasukan’ pesan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kepada barisan pemain Selangor yang bakal beraksi dalam dua final - Piala FA dan Piala Malaysia.
Baginya, semangat itu lebih penting daripada menjanjikan imbuhan kepada pemain untuk menang.
"Saya tidak mahu menyogokkan imbuhan kepada pemain untuk menang, sebaliknya saya lebih suka mengambil pendekatan `bermain kerana kerjaya dan kerana cintakan negeri serta pasukan'.
"Sebab itu saya jarang menjanjikan imbuhan seperti pasukan lain. Jika mereka boleh mencapai kejayaan, kita akan ambil perhatian sewajarnya," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Shah Alam, semalam.
Selangor akan bertemu Perak bagi menentukan juara Piala FA, Sabtu ini dan berdepan Perlis bagi merebut Piala Malaysia, 1 Oktober ini.
Dr Mohamad Khir yang juga Menteri Besar Selangor berkata, jika mampu memenangi Piala Malaysia kelak, ia adalah kemenangan ke-40, satu rekod gemilang dalam sejarah bola sepak negeri itu yang menyamai umurnya.
"Kami sudah menang Liga Perdana. Saya harap dapat menang Piala Malaysia dan Piala FA. Ini bonus,” katanya.
Mengenai penyokong fanatik Selangor dan Perak yang akan menyaksikan final Sabtu ini, Dr Mohamad Khir berharap mereka dapat mengawal diri.
Beliau seterusnya membayangkan untuk mengisi kuota pemain import dengan mengambil pemain dari negara jiran, khususnya Indonesia kerana strategi itu berkesan bagi menarik kehadiran lebih ramai penonton ke stadium.
Sehingga kini, katanya, FAS mengutip RM2.7 juta daripada hasil jualan tiket dan yakin ia akan mencecah lebih RM3 juta.