Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
23.09.05

Shukor mahu kongsi kejayaan

Oleh: Berita Harian

Selangor harus menang Piala FA esok bukan sekadar hadiah hari jadi buat kapten mereka Shukor Adan tetapi yang lebih penting sebagai imbuhan terhadap penat lelah perjuangan mereka memastikan kemaraan ke final.

 

Ingatan itu diluahkan oleh Shukor yang menyedari keperitan yang dihadapi oleh dirinya dan rakan sepasukan bagi memastikan kecemerlangan Gergasi Merah itu yang turut mara ke final Piala Malaysia dan muncul juara Liga Perdana musim ini.

 

Shukor yang akan menyambut hari jadinya yang ke-26 esok menegaskan musim ini paling mencabar buat skuad Merah Kuning itu kerana mengharungi jadual perlawanan yang padat hingga mereka tidak mendapat rehat mencukupi.

 

"Tetapi, dengan bantuan pengalaman dan tahap disiplin tinggi yang ada pada pemain Selangor, kami berjaya melaluinya dengan semangat juang yang tinggi.

 

"Peluang menjuarai Piala FA kini sudah di depan mata dan kami tidak boleh melepaskannya dengan mudah. Apatah lagi sesudah melalui segala keperitan untuk mara sejauh ini," katanya yang mengidam kejuaraan sulung Piala FA selepas berhijrah ke Selangor dari Negeri Sembilan pada 2002.

 

Shukor yang dianggap tonggak kebangkitan Selangor musim ini dengan beberapa jaringan penyelamat di akhir perlawanan menegaskan, sekalipun Selangor kini berdepan dengan satu lagi perlawanan penting iaitu final Piala Malaysia 1 Oktober nanti, semua pemain kini hanya menumpukan terhadap final Piala FA menentang Perak.

 

Katanya, semua pemain Selangor sedar bahaya yang boleh dicetuskan Perak yang semestinya mahu memastikan kemenangan Piala FA itu sebagai pengubat duka kegagalan mara ke final Piala Malaysia.

 

"Perlawanan menentang Perak pasti sengit. Namun kami sudah bersedia untuk menangkis segala cabaran mereka. Kami akan pastikan perlawanan kali ini milik Selangor sekalipun rekod pertemuan kami musim ini berpihak kepada mereka dengan satu kemenangan dan sekali seri," katanya yang menyifatkan beraksi di Stadium Shah Alam juga satu kelebihan kepada Selangor.