Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
21.09.05

Tiada simpati

 

Selama hampir 10 tahun menabur budi di bumi Perak dengan menggenggam pelbagai kejuaraan, penyerang Selangor, Khalid Jamlus menggalas tugas berbeza apabila menjadi pemain yang bakal meranapkan impian skuad Seladang itu di final Piala FA di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.

 

Biarpun bakal dicerca hebat peminat fanatik Perak, pemain kelahiran Kuala Lumpur itu sudah bersedia menghadapi situasi itu kerana dia tahu apa tugas sebenarnya di atas padang.

 

“Mereka boleh buat apa yang mereka suka, sama ada mahu mencaci atau memaki saya. Saya pernah dicaci ketika beraksi di Stadium Perak, sebelum ini.

 

“Tetapi, saya tidak menghiraukan itu semua kerana ia adalah asam garam sebagai pemain bola sepak dan ia tidak akan menjejaskan tumpuan saya di tengah padang,” katanya kepada Arena Metro, semalam.

 

Bagi Khalid, 28, pertemuan Sabtu nanti adalah ujian getir baginya kerana perlu berdepan rakan karibnya semasa menyarung jersi skuad ‘Kejor Yob Kejor’ itu.

 

“Saya tidak risau apabila menentang negeri sendiri di final nanti kerana sebagai pemain profesional, saya perlu menggalas tugas yang diberikan majikan saya ketika ini iaitu Selangor.

 

“Jadi, tidak terlintas sebarang rasa simpati kepada Perak biarpun hampir 10 tahun beraksi bersama mereka,” katanya.

 

Selangor layak ke final Piala FA selepas menumpaskan Public Bank dengan agregat 5-3, manakala Perak menumbangkan Kuala Lumpur dengan agregat 2-1.

 

Bersama Perak, Khalid membantu negeri itu menggondol Piala Malaysia pada 2000, menewaskan Terengganu dan merangkul Piala FA musim lalu menewaskan lawan yang sama.

 

Sebagai pemain yang begitu lama beraksi dengan Perak, dia cukup masak dengan kemampuan pasukan kendalian jurulatih dari Brazil, Toni Netto.

 

“Perak adalah satu pasukan yang mantap kerana dibarisi pemain berpengalaman seperti Ahmad Shahrul Azhar dan Syamsol Saad serta diperkuatkan dengan pemain import yang hebat seperti Keita Mandjou.

 

“Mereka juga mengamalkan permainan mudah iaitu ‘one touch football’ dengan berkesan dan dibantu tenaga muda yang berkaliber, pasukan ini memang perlu dihormati,” katanya.

 

Penghijrahan Khalid ke Selangor, V Saravanan ke Pahang dan Liew Kit Kong ke Kedah, tidak melemahkan barisan skuad Seladang itu.

 

“Biarpun kami berhijrah ke pasukan lain, Perak berupaya mencari pengganti yang berkualiti dan ia ternyata tidak menjejaskan kekuatan mereka,” katanya.

 

Khalid yang kini menjalani rawatan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), akibat kecederaan hamstring begitu mengharapkan dapat beraksi dalam perlawanan itu.

 

“Saya memang ingin sangat beraksi di final Sabtu ini tetapi perlu akur dengan keputusan jurulatih, Dollah Salleh.

 

“Bukan kerana kami akan berdepan Perak, tetapi kerana ingin membantu Selangor menjulang piala ini,” katanya.

 

Katanya, kebangkitan Selangor musim ini adalah berdasarkan semangat semua pemain yang tahu tugas masing-masing dan tiada pemain berstatus bintang dalam pasukan itu.

 

“Kami bekerja sebagai satu pasukan dan masing-masing berjaya melaksanakan tugas mereka dengan berkesan.

 

“Tiada seorang pun pemain yang merasakan diri mereka lebih baik kerana kejayaan yang kami capai ini adalah hasil gabungan semua pihak iaitu pemain, jurulatih dan pengurusan,” katanya.

 

Dalam usaha menggondol kejuaraan kedua musim ini, selepas Piala Liga Perdana, Khalid berpesan kepada rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah keupayaan Perak.

 

“Kami tidak boleh ego, tidak boleh bangga dengan pencapaian musim ini kerana perjuangan kami masih belum selesai.

 

“Saya berjanji bahawa kami akan berjuang bersungguh-sungguh untuk memenangi perlawanan itu dan menghadiahkan kejuaraan ini kepada penyokong setia Merah Kuning,” katanya.