21.09.05
Tiga tonggak kekal
Oleh: Berita Harian
Belumpun musim berakhir, tiga pemain import Merah Kuning - Elie Aiboy, Bambang Pamungkas dan Brian Fuentes sudah memastikan tempat masing-masing dalam pasukan berkenaan untuk sekurang-kurangnya semusim lagi.
Tentunya ia berita gembira buat Elie-Bambang-Fuentes kerana segala usaha keras mereka untuk Selangor musim ini mendapat penghargaan dan perhatian pengurus, Datuk Satim Diman.
"Saya rasa tidak salah jika mereka dikekalkan untuk musim depan. Permainan mereka baik dan banyak membantu kebangkitan Selangor.
"Gandingan Elie-Bambang cukup digeruni dan keupayaan Fuentes dalam menjaringkan gol tidak perlu dipertikaikan lagi," katanya.
Satim juga berpendapat sumbangan ketiga-tiga pemain import berkenaan amat bermakna buat Selangor musim ini hinga mampu mengungguli Liga Perdana selain berjaya memasuki final dua piala lain iaitu FA dan Piala Malaysia.
Malah gandingan serangan Bambang-Fuentes menghasilkan 36 gol di peringkat Liga Perdana dan peranan serta sumbangan Elie dalam merencana gol-gol berkenaan diakui pengurusan Selangor.
Selain itu, kemantapan ketiga-tiga pemain import itu turut membantu mengisi kantung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) apabila semakin ramai penyokong termasuk dari negara jiran datang ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.
"Setakat ini, inilah barisan import kami untuk musim depan. Bagaimanapun, ia tetap bergantung kepada kesediaan mereka untuk terus mengisi slot pemain import dalam skuad Selangor," katanya.