22.10.05
Dua cukup buat Selangor
Oleh: Utusan Malaysia
Selangor menutup pintu buat pemain tempatan jika ada yang masih menaruh harapan untuk menyarung jersi Merah Kuning bagi kempen musim 2005/2006 bermula 3 Disember ini.
Kehadiran dua ayam tambatan tonggak pertahanan skuad bola sepak Indonesia, Charis Yulianto dan bekas pemain Negeri Sembilan, K. Rajan melengkapkan barisan elit Selangor mengharungi saingan Liga Super.
Pengurus Selangor, Datuk Satim Diman berkata, kelibat kedua-dua pemain tersebut sudah cukup merealisasikan skuad Merah Kuning paling ampuh musim depan.
Menurut beliau, Selangor tidak bercadang untuk mendapat khidmat pemain tempatan lain dan menutup pintu jika ada di antara yang berhajat hendak bermain dengan Selangor.
"Kehadiran Charis dan Rajan melengkapkan barisan ampuh, saya tidak sangsi dengan keupayaan Selangor mengharungi saingan paling getir dalam Liga Super nanti," ujarnya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau tidak menafikan Charis yang juga adalah rakan sepasukan Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy dengan kelab Persija Jakarta, akan menjadi pemain import keempat Selangor.
Ujarnya, pemergian beliau dan jurulatih Dollah Salleh ke Jakarta Isnin ini, sekadar menyelesaikan beberapa perkara sahaja.
"Secara lisan Charis telah bersetuju untuk menyarung jersi Merah Kuning dan saya harap segalanya berjalan lancar di Jakarta nanti," katanya.
Buat Satim, beliau yakin dan percaya 19 pemain yang telah diikat oleh Selangor termasuk Bambang, Aiboy dan Fuentes untuk musim depan, mampu menjanjikan kejayaan.
"Untuk mempertahankan tiga piala iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana adalah sesuatu yang sukar.
"Secara realistik saya meletakkan sasaran untuk mempertahankan gelaran Piala Malaysia untuk musim depan.
"Tetapi jika berjaya memenangi Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super, itu adalah bonus paling menarik buat Selangor," katanya.
Beliau berkata, kesemua 19 pemain yang telah diikat oleh Selangor telah mula menjalani latihan di bulan puasa bermula kelmarin.
Bagaimanapun katanya, Bambang, Aiboy dan Fuentes masih bercuti dan dijangka menyertai sesi latihan Selangor selepas sambutan Aidil Fitri.