26.10.05
Gergasi Merah tunggu Charis
Oleh: Harian Metro
Juara Piala Malaysia musim ini, Selangor, terpaksa menanti dengan penuh sabar sebelum berjaya mendapatkan khidmat tonggak pertahanan Indonesia, Cahris Yulianto, bagi memantapkan pasukan itu bagi menghadapi Liga Super musim depan.
Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata skuad Merah Kuning itu terpaksa menunggu hingga 19 November depan sebelum mendapatkan tandatangan pemain itu.
"Charis mempunyai kontrak bersama kelabnya, Persija Jakarta hingga Disember depan.
"Dia juga akan terbabit dalam final Piala Copa pada 19 November ini dan kerana itu kita perlu menanti sebelum boleh mendapatkan khidmatnya bagi memperkuatkan pertahanan Selangor musim depan," katanya kepada Arena Metro ketika dihubungi di Jakarta, semalam.
Charis menjadi pilihan Selangor selepas aksi hambar yang ditunjukkan pemian import dari Australia, Badawi Farah dalam saingan musim ini.
Berikutan kegagalan mempamerkan aksi terbaik dalam saingan Liga Perdana musim ini, Badawi hanya mampu mempamerkan bakatnya hingga pertengahan musim sebelum disingkirkan Selangor.
Satim berkata, pihaknya mempunyai keyakinan penuh terhadap keupayaan Charis yang menjadi salah satu tonggak dalam membantu kelabnya mara ke final Liga Bolasepak Indonesia baru-baru ini.
"Kita sudah memerhatikan aksinya dalam beberapa perlawanan dan kerana itu kita yakin dia dapat membantu memperkukuhkan pertahanan Selangor.
"Dia juga dijangka tidak menghadapi masalah bergandingan dengan pertahanan kita seperti Nazrulerwan Makmor dan pemain lain di bahagian benteng," katanya.
satim berkata, pihaknya juga berjaya memujuk Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy bagi menyambung kontrak buat semusim lagi.
"Segala-galanya sudah selesai apabila kedua-dua pemain ini menandatangani kontrak baru yang kita tawarkan kepada mereka.
"Penyerang Argentina, Brian Fuentes pula dijangka menandatangani kontrak secara rasmi apabila dia kembali ke sini awal Disember depan," katanya.
Katanya, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) turut mengubah lokasi lawatan bagi skuad Selangor yang sebelum ini dirancang ke Madrid, Sepanyol, pertengahan bulan depan.
"Kita memilih untuk mengadakan latihan dan lawatan di Melbourne dan Sydney atas cadangan pemain.
"Mereka yang begitu bersemangat sekali intuk menjalani latihan sambil mengadakan lawatan kerana musim Liga Super akan diadakan tidak lama lagi," katanya.