21.10.05
Hajat besar Selangor
Oleh: Harian Metro
Selepas mencatat tiga kejuaraan musim ini, Selangor mempunyai selera besar untuk mengulangi pencapaian musim cemerlang yang dicatatkan 10 tahun lalu.
Pada musim 1995, skuad Merah Kuning itu memenangi Piala Malaysia buat kali ke-26 dan menjulang piala itu dua musim seterusnya untuk mencatat kejayaan hatrik menjuarai piala paling berprestij itu.
Demi memenuhi cita-cita besar itu, pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), mengekalkan hampir 99 peratus senarai pemain yang membantu mereka menjulang Piala Malaysia buat kali ke-30 musim ini bagi menghadapi saingan lebih mencabar musim depan yang bermula awal Disember nanti.
Pengurus pasukan Selangor, Datuk Satim Diman, berkata 19 pemain tempatan yang menandatangani kontrak selama dua tahun untuk memenuhi misi berkenaan.
“Selepas memenuhi matlamat memenangi Piala Malaysia musim ini, kita mengambil keputusan mengekalkan hampir keseluruhan pemain musim ini dengan kontrak selama dua tahun.
“Kita mempunyai misi yang tinggi iaitu bukan saja mempertahankan Piala Malaysia musim depan, tetapi mengulangi kejayaan menjulang piala itu tiga musim berturut-turut kali ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Kontrak Pemain di Wisma FAS, Kelana Jaya, semalam.
Dalam majlis itu, seramai 19 pemain tempatan diketuai kapten, Shukor Adan termasuk pemain terbaru Selangor, K Rajan, menandatangani kontrak di depan Satim dan Setiausaha Agung FAS, Hamidin Mohd Amin serta Bendahari FAS, S Sivasundram.
Satim berkata, pengekalan sebahagian besar pemain Selangor itu dilakukan berikutan pengurusan FAS yakin dengan kemampuan mereka menghadapi Liga Super musim depan.
“Kita akan beraksi dalam Liga Super musim depan dan ini adalah saingan yang lebih mencabar berbanding aksi di Liga Perdana.
“Berikutan itu, kita turut mengambil beberapa pemain lain bagi memperkuatkan pasukan ini,” katanya.
Katanya, kehadiran bekas pemain Negeri Sembilan, Rajan, dalam skuad itu musim depan akan memantapkan barisan serangan pasukan itu.
“Kita sudah mempunyai Elie Aiboy di bahagian sayap kanan dan kehadiran Rajan di sayap kiri memberi lebih banyak pilihan kepada pasukan dalam mengatur serangan.
“Kita berharap ini akan menjadikan Selangor lebih berdaya saing dan seterusnya memenuhi matlamat yang kita tetapkan pada musim depan,” katanya.
Katanya, kontrak dengan pemain import terbaru yang juga pemain pertahanan kebangsaan Indonesia, Charis Yulianto, akan diselesaikan minggu depan.
“Saya dan jurulatih, Dollah Salleh akan ke Jakarta, Isnin ini, untuk menyelesaikan beberapa perkara dan kita berharap dapat mendapatkan khidmatnya bagi memantapkan bahagian pertahanan pasukan.
“Saya yakin, sebagai pemain profesional dia tidak mempunyai masalah untuk bergandingan sesiapa saja di bahagian pertahanan,” katanya.