25.10.05
Harris kembali bersama MPPJ
Oleh: Harian Metro
Sudah sah. Ikatan penyerang Selangor, Harris Safwan Kamal, bersama skuad Merah Kuning itu hanya bertahan semusim sahaja.
Bekas penyerang skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu mengambil keputusan untuk kembali ke pangkuan kelab lamanya MPPJ musim depan.
Penyerang berusia 22 tahun itu sebelum ini meminta tempoh sebelum menandatangani kontrak baru bersama Selangor selepas menerima tawaran MPPJ dan Terenganu.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin, sebelum ini berkata penyerang muda itu tidak menandatangani surat tawaran bersama pemain lain dalam satu majlis yang diadakan di Wisma FAS minggu lalu.
Harris sebelum ini membantu MPPJ mencatat sejarah sebagai kelab pertama menjuarai Piala Malaysia pada musim 2003.
Dia juga membantu Selangor mencatat sejarah apabila mengungguli tiga piala musim ini iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Liga Perdana.
Ketika mewakili MPPJ bagi musim 2003, Harris adalah salah seorang penyerang utama kelab itu apabila bergandingan dengan penyerang dari Argentina, Juan Manuel Arostegui.
Dia mengikuti langkah bekas jurulatih MPPJ, Dollah Salleh bersama Jamsari Sabian, Aiman Firdaus dan Norhisham Kamaruddin ke Selangor bagi musim 2005.
MPPJ yang mengidam untuk menakluki semula Piala Malaysia musim depan melaburkan wang yang mencecah hingga RM9 juta bagi memikat ramai pemain ternama.
Antara pemain yang dikaitkan dengan kelab itu ialah pemain Perak, K Nanthakumar dan Chan Wing Hong, pemain Kedah Liew Kit Kong dan Fauzi Nan dan penjaga gol Pahang Azmin Azram Aziz.
Berikutan keputusan itu, Selangor perlu mendapatkan penggantinya secepat mungkin bagi menghadapi Liga Super musim depan.
Selangor sebelum ini berusaha mendapatkan khidmat bekas pemain Public Bank, Rashid Mamud tetapi pemain itu lebih berminat beraksi untuk Pahang musim depan.
Selangor setakat ini hanya berjaya mendapatkan pemain sayap Negeri sembilan, K Rajan bagi memantapkan barisan serangan mereka musim depan.