Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
24.10.05

Harris minta tangguh

Oleh: Harian Metro

Harris Safwan

Selangor mungkin kehilangan penyerang Harris Safwan Kamal, musim depan selepas pemain itu meminta tempoh beberapa hari lagi sebelum menetapkan keputusan untuk mewakili skuad Merah Kuning itu.

 

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin, berkata Harris Safwan, 23, adalah pemain tunggal yang tidak menandatangani surat tawaran untuk melanjutkan kontraknya bersama Selangor musim depan dalam majlis yang dijalankan di Wisma FAS, kelmarin.

 

"Dia meminta tempoh untuk memikirkan semula tawaran yang kita berikan bagi menyambung khidmatnya untuk menghadapi Liga Super musim depan," katanya.

 

Hamidin berkata, bekas penyerang bawah 23 tahun kebangsaan itu berbuat demikian selepas mendapat tawaran daripada Terengganu dan MPPJ.

 

"Dia memaklumkan bahawa dua pasukan ini membuat tawaran kepadanya bagi musim depan.

 

"Jadi, kita memberi masa kepadanya supaya memikirkan perkara ini sebaik mungkin," katanya.

 

Katanya, FAS tidak menghalang mana-mana pemainnya untuk mewakili pasukan lain musim depan kerana memahami bahawa mereka berhak menentukan masa depan masing-masing.

 

"Kita cuba melakukan yang terbaik untuk semua pemain tetapi jika mereka memikirkan mahu beraksi dengan pasukan lain musim depan, kita tidak membantah tindakan itu.

 

"Kita mesti bersikap terbuka kerana memahami bahawa setiap pemain mempunyai impian masing-masing," katanya.

 

Pada musim ini, Harris sering memanaskan bangku simpanan Selangor dan dimasukkan sebagai pemain gantian berikutan pasukan Merah Kuning itu mempunyai penyerang lebih hebat seperti Bambang Pamungkas, Brian Fuentes dan Khalid Jamlus.

 

Sementara itu, Hamidin berkata usaha Selangor memburu seorang pemain pertahanan import dijangka selesai dengan pengambilan bekas pemain Persija Jakarta, Charis Yulianto dari Indonesia.

 

"Kita menjangkakan dapat menggunakan khidmat pemain kebangsaan Indonesia ini musim depan dan semua perkara berkaitan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi," katanya.