Selangor FA
Zakaria Ab Rahim
Persatuan Bolasepak Selangor
Stadium Shah Alam
19.10.05

Pemilihan Perak muktamad: FAM

Oleh: Berita Harian

Pemilihan naib juara Piala FA, Perak sebagai lawan Selangor bagi perlawanan sumbangsih merebut Piala Sultan Ahmad Shah adalah muktamad, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

 

Katanya, keputusan menentukan pasukan yang akan beraksi untuk perlawanan sumbangsih itu sudah lama dibuat.

 

Perlawanan pembuka tirai musim baru itu sudah ditetapkan antara juara Piala Malaysia dan juara Piala FA sejak beberapa tahun lalu.

 

“Kebetulan, tahun ini, pertama kali Selangor memenangi tiga piala serentak (Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Perdana) dan kami memilih naib juara FA untuk beraksi di perlawanan itu.

 

“FAM akan kekal dengan keputusan ini dan kami tidak boleh tukar begitu saja tetapi mungkin selepas ini, kami akan kaji semula kekurangan dalam sistem ini,” katanya.

 

Sebelum ini, pemilihan Perak dipertikaikan oleh Persatuan Bola Sepak Perlis kerana mendakwa skuad Singa Utara lebih layak beraksi menentang Selangor untuk perlawanan pertama itu atas status juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia musim ini.

 

Berikutan itu, Tengku Abdullah berharap Perlis akan menerima keputusan itu yang sudah ditetapkan oleh FAM.

 

Sementara itu, beliau meminta setiap pasukan agar tidak terlalu ghairah memilih pemain import dari Indonesia, semata-mata kerana mengikut pasukan lain yang brbuat demikian.

 

"Jangan kerana seseorang pemain itu dari Indonesia, ia menjadi pilihan pertama, sebaliknya pilihlah yang terbaik.

 

"Pengambilan pemain terbaik memberi peluang yang lebih cerah untuk sesebuah pasukan memperoleh pencapaian terbaik," katanya mengulas kecenderungan sesetengah pasukan memilih pemain Indonesia sebagai pilihan utama.

 

Ditanya kemungkinan pasukan terbabit mengutamakan pemain Indonesia untuk memancing lebih ramai warga Indonesia di negara ini menyaksikan perlawanan dan menyokong pasukan mereka, Tengku Abdullah mengakui kehadiran mereka boleh menarik penonton dari warga Indonesia di sini.

 

“Kita harus terima hakikat itu tetapi apa yang lebih penting ialah memilih pemain yang terbaik. Keutuhan pasukan perlu diutamakan kerana jika pasukan berkenaan menang, sudah tentu ia dapat menarik penonton menyaksikannya," katanya.