21.10.05
Penentuan Charis minggu depan
Oleh: Berita Harian
Pertahanan kebangsaan Indonesia, Charis Yulianto akan rasmi menjadi milik Selangor minggu depan apabila pengurusan Merah Kuning ke Jakarta bagi melengkapkan urusan perpindahannya.
Charis, 27, yang bakal mengisi kouta pemain import keempat skuad Gergasi Merah itu akan menjadi pemain Indonesia ketiga mewakili skuad itu bagi musim baru yang bermula awal Disember ini selepas mengekalkan Bambang Pamungkas dan Elie Aiboy yang membantu mereka meraih tiga kejuaraan semusim.
Selangor turut mengekalkan penyerang import dari Argentina, Brian Fuentes dan usaha mendapatkan Charis yang pernah beraksi bersama-sama Bambang dan Elie di kelab Persija Jakarta bagi memantapkan benteng pertahanan yang dikritik kerana kurang mantap berbanding posisi lain musim lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Hamidin Mohd Amin, berkata kunjungan ke Jakarta itu ialah bagi memuktamadkan urusan untuk membawa pemain itu ke negara ini selepas rundingan awal berlangsung kira-kira sebulan lalu.
“Selangor berminat untuk mendapatkan khidmat Charis selepas terpikat dengan aksinya mengemudi benteng pertahanan Indonesia pada Piala Tiger tahun lalu.
“Keputusan untuk membawanya ke Selangor dibuat selepas pengurusan bercadang menambah pemain import untuk posisi pertahanan yang sering dikritik musim lalu,” katanya.
Selangor sebelum ini dikaitkan mahu mendapatkan sama ada Charis, Boas Salossa atau kapten skuad kebangsaan Indonesia Ponaryo Astaman tetapi mula menumpukan terhadap pertahanan Persija Jakarta itu selepas dua lagi calon itu tidak menepati perancangan mereka.
Sementara itu, seramai 19 pemain tempatan Selangor menandatangani kontrak untuk menyambung khidmat bersama skuad itu bagi musim baru di Wisma FAS semalam termasuk pemain sayap K Rajan yang baru dibeli dari Negeri Sembilan.
Skuad itu mengekalkan sebahagian besar skuad musim lalu dan hanya menggugurkan dua pemain simpanan iaitu penjaga gol, Mohd Fahmi Mat Isa dan pertahanan, Norhisham Kamaruddin.